fbpx

IPU makin merosot, 14 kawasan tidak sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 14 stesen pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pada pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya juga turut merekodkan 49 kawasan IPU pada tahap sederhana manakala kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik (lima).

“14 stesen mencatatkan IPU tidak sihat melibatkan kawasan Taiping, Perak iaitu pada tahap IPU 151, Batu Muda, Kuala Lumpur (151), Cheras, Kuala Lumpur (163), Putrajaya, (155), Petaling Jaya, Selangor (155), Shah Alam, Selangor (156) dan Klang, Selangor (134).

“Turut terlibat di Banting, Selangor dengan bacaan IPU 156, Nilai, Negeri Sembilan (163), Seremban, Negeri Sembilan (157), Port Dickson, Negeri Sembilan (155), Alor Gajah, Melaka (133), Bukit Rambai, Melaka (151) dan Johan Setia, Selangor (151),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati masih merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat terutama di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 1 Oktober, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, sebanyak 121 titik panas dikesan di Sumatera, 122 titik panas dikesan di Kalimantan dan tiada titik panas dikesan di dalam negara.

“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 1 Oktober melaporkan rantau selatan ASEAN mengalami keadaan mendung kecuali di bahagian selatan Sumatera, selatan Kalimantan, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil mengalami keadaan kering,” ujarnya.

Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

“Semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Pemilik tanah juga diminta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI