fbpx

Dana RM2 bilion bantu LTAT sebelum hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR pada program Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi hari ini.

BENTONG – Bagi ‘menyelamatkan’ Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang berhadapan masalah kewangan, kerajaan sedang berusaha mencari dana sebanyak RM2 bilion sebelum hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan baru-baru ini telah mengeluarkan peruntukkan sebanyak RM300 juta untuk membantu LTAT yang berhadapan dengan masalah kewangan.

“Baru-baru kita lulus Boustead, LTAT, veteran tentera, ada masalah. Saya kata keluarkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan, tolong berapa? RM300 juta minggu ini, saya bentang di Kabinet, semua sokong, PH sokong, BN sokong, GPS sokong, DAP sokong.

“Sebelum hujung tahun ini, nak cari RM2 bilion supaya LTAT jangan rugi,” katanya dalam Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menegur pengurusan LTAT supaya mengembalikan semula prestasinya sebagai entiti yang menguruskan dana persaraan warga tentera dengan lebih baik demi memperkasa kebajikan golongan itu.

Antara teguran Mohamad adalah apabila ramai yang melihat LTAT termasuk subsidiarinya Boustead Holdings Bhd sebagai syarikat yang ‘hidup segan mati tak mahu’.

Justeru, beliau memberi amaran supaya syarikat berkenaan tidak terlalu selesa sebaliknya berkembang dan terus meneroka persekitaran yang sudah berubah sekarang.

Sementara itu, Anwar meminta orang ramai tidak mudah mempercayai kenyataan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan telah menjual hak orang Melayu kepada kaum Cina.

Beliau memberi antaranya mengenai aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) pada 2018 ketika di bawah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah kerana syarikat berkenaan berhadapan dengan masalah kewangan.

“Ramai yang percaya, kadang yang cakap ustaz yang berkopiah putih, kita semaklah mungkin ingat ini betul.

“Saya sekarang Menteri Kewangan, buka fail cari mana fail syarikat dijual kepada Cina, tiada. Yang ambil Kementerian Kewangan adalah syarikat Tabung Haji rugi teruk.

“Kalau tidak ambil, Tabung Haji bankrap, jadi diambil SPV di bawah Kementerian Kewangan. Kebetulan menteri Lim Guan Eng,” katanya.

Tambahnya beliau juga telah memberi arahan kepada Kementerian Kewangan agar menyerahkan semula syarikat yang berjaya memperoleh keuntungan kepada Tabung Haji.

“Masa rugi kerajaan ambil alih, masa untung kerajaan serah balik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI