fbpx

Berat badan berlebihan, obes kekal masalah utama kesihatan awam – KP Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Radzi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Siri Panduan Diet Malaysia dan Inisiatif Healthy Eating Responsibility for Women (HER) di Putrajaya, hari ini. FOTO-FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Berat badan berlebihan dan obesiti kekal sebagai masalah utama kesihatan awam membabitkan 50.1 peratus rakyat Malaysia pada tahun 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa turut meningkat lebih daripada tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun iaitu 1996 hingga 2006.

Jelasnya, Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia (NHMS) pada 2022 mendapati satu daripada lima kanak-kanak dikenal pasti mempunyai masalah bantut dan sebanyak 6.0 peratus kanak-kanak mengalami masalah berat badan berlebihan.

“Seterusnya terdapat peningkatan prevalen berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun iaitu daripada 26.9 peratus pada 2012 kepada 30.4 peratus pada 2017.

“Data ini menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Siri Panduan Diet Malaysia dan Inisiatif Healthy Eating Responsibility for Women (HER) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program, Muhammad Radzi berkata, inisiatif tersebut merupakan antara usaha untuk mencegah dan mengawal masalah beban berganda malpemakanan dan penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan.

Jelasnya, siri berkenaan merupakan dokumen saintifik yang diterbit khas dan mengandungi maklumat terkini serta saranan pendekatan untuk mencapai mesej-mesej utama dalam setiap Panduan Diet Malaysia.

“Ia meliputi kumpulan sasar spesifik iaitu Panduan Diet Malaysia untuk kanak-kanak dan remaja, maternal, warga emas serta vegetarian.

“Penerbitan siri ini adalah tepat pada waktunya dan juga selari dengan hasrat kerajaan melalui Kertas Putih Kesihatan untuk memberi lebih penekanan kepada aspek pencegahan penyakit berkaitan pemakanan,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, inisiatif HER pula dibentuk sebagai kesinambungan dan terjemahan kepada Panduan Diet Malaysia untuk maternal bagi mencegah dan mengawal masalah pemakanan yang berlaku dalam kalangan wanita umur reproduktif (15 hingga 49 tahun). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI