fbpx

Liga Super Perlis: Pengadil cedera ditumbuk pegawai pasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

ARAU – Seorang pengadil cedera akibat ditumbuk seorang pegawai pasukan selepas perlawanan akhir Liga Super Perlis yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, mangsa dilaporkan mengalami luka pada bahagian kening sebelah kanan dan lebam di mata kanan selepas ditumbuk oleh pengurus pasukan berkenaan.

“Pengadu yang merupakan seorang guru kolej mendakwa telah ditumbuk setelah selesai mengadili perlawanan akhir tersebut membabitkan pasukan Lion Junior FC menentang Guar Syed Alwi,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian itu adalah disebabkan pengurus pasukan terlibat tidak berpuas hati apabila pengadu bertindak membatalkan gol pasukan Lion Junior FC.

Katanya, setelah wisel penamat dibunyikan, pengurus pasukan terbabit yang berada di tepi padang telah masuk ke tengah dan menumbuk bahagian kening pengadu sebanyak satu kali.

“Pengadu juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian mata serta luka sepanjang 0.2 sentimeter.

“Pengadu juga tampil membuat laporan polis selepas perlawanan berkenaan berakhir kira-kira pukul 10.30 malam dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI