fbpx

Tanah di Sabah, Sarawak dinilai untuk tanaman padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rubiah (dua dari kanan) ketika melawat Taman Agroteknologi Pertanian PERDA di Ara Kuda, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang menjalankan penilaian tanah di Sabah dan Sarawak yang dijangka sesuai bagi pelaksanaan projek penanaman padi.

Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan di Kota Belud dan Stumbin di Sri Aman yang bakal membantu mempertingkatkan sektor agromakanan tempatan.

“Kedua-dua kawasan yang masing-masing seluas lebih 5,000 hektar akan dibangunkan menerusi Felcra di Sabah manakala di Sarawak, kita bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi tujuan sama. Kita kini di peringkat pra, maksudnya dalam usaha penilaian tanah dan kenalpasti para peserta yang akan terlibat dalam pembangunan tanaman padi ini.

“Selain itu, kita turut dimohon untuk menyegerakan banyak lagi tindakan dalam usaha mempertingkatkan kawasan penanaman padi sekali gus menambah pengeluaran beras negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Agroteknologi Pertanian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya terus berusaha dalam menangani isu keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.

“Menerusi penglibatan pelbagai agensi bawah kementerian antaranya PERDA, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), kita bantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkatkan pengeluaran makanan negara,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan sudah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak untuk pelaksanaan projek penanaman padi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu dipersetujui secara prinsip oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, namun pelaksanaannya memerlukan sedikit masa.

Katanya, peruntukan projek itu yang dikeluarkan KKDW perlu dikoordinasikan dengan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak, selain perlu mendapatkan persetujuan daripada pemilik tanah terutama yang membabitkan tanah adat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI