fbpx
TRACIE SINIDOL

Tracie Sinidol kikis slang Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GELARAN juara Dewi Remaja 2021/2022 bukan tiket mudah untuk pemilik nama Tracie Sinidol dengan mudah menembusi dinding dunia hiburan tempatan.

Masih berjuang demi misi mengukir nama, berkat ketekunan jitu, Tracie akhirnya dilamar sebagai bintang utama drama slot Akasia berjudul Luruhnya Bunga Cinta.

Rona kanvas seninya masih hijau namun anak jati Tambunan, Sabah itu sedaya-upaya menonjolkan yang terbaik. Akuinya, dia masih dalam fasa mengukuhkan penguasaan bahasa atau slang Semenanjung dengan lancar.

“Ini drama pertama yang saya pegang watak utama. Saya pula jenis cepat gementar.

“Kalau hari ini ada banyak babak sedih yang memerlukan saya untuk menangis, saya datang set penggambaran dengan perasaan suram.

“Susah sebenarnya untuk dapatkan mood sedih sebab karakter Nuha agak sukar selain perlu lontarkan dialog dalam bahasa Semenanjung,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman di bibir.

TIDAK mahu terlalu selesa, wanita asal Sabah itu mahu mencabar diri dengan mencuba watak lain selepas ini.
– MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Mengulas lanjut, Tracie mengakui slang Sabahnya yang pekat sedikit sebanyak menyulitkan perjuangannya sebagai seorang anak seni. Namun, perlahan-lahan dia belajar memperbaiki diri.

“Ketika mula-mula masuk set penggambaran, agak susah bagi saya sebab slang Sabah yang pekat sangat.

“Pengarah minta saya kurangkan slang Sabah tetapi saya bimbang kerana tidak ramai kawan di Semenanjung.

“Jadi, setiap kali datang ke set penggambaran, saya akan bertutur dalam bahasa Semenanjung bersama kru dan pelakon lain,” kongsi wanita berusia 22 tahun itu.
Juara pertandingan Ratu Cantik Unduk Ngadau Tambunan 2021 itu turut meluahkan kebimbangan andai gaya pertuturannya mendatangkan rasa kurang seterusnya mengundang cemuhan ramai.

“Takut juga orang akan menghakimi apa yang saya lakukan tetapi asalkan saya sudah lakukan yang terbaik.

“Orang tidak boleh jangka dalam masa satu tahun belajar bahasa Semenanjung terus boleh lancar,” ujarnya lagi.

TRACIE memegang watak utama sebagai Nuha dalam drama Luruhnya Bunga Cinta gandingan bersama hero, Redza Rosli.

Bukan sebab ‘Mira Filzah’

Ditebak soalan sama ada kelebihan memiliki wajah iras Mira Filzah sebagai faktor ‘X’ yang ‘mengunci’ karakter tersebut buat diri, Tracie mempunyai pandangan bertentangan.

Katanya, dia masih perlu menjalani sesi uji bakat sama seperti orang lain.

“Tak, ini bukan mengenai muka mirip Mira Filzah saya dapat tawaran dalam drama ini.

“Kena ada bakat. Saya tetap menjalani uji bakat barulah terpilih menjadi heroin,” dedahnya.

Kongsinya, ketika sesi audisi, dia hanya lontarkan dialog yang diminta tanpa memikirkan tentang watak yang bakal ditawarkan tetapi ternyata rezeki berpihak kepadanya.

SEBAGAI pendatang baharu, Tracie akui banyak yang perlu diperbaiki untuk mendapatkan hasil terbaik dalam lakonannya.

“Terkejut juga saya terpilih sebagai heroin kerana saya tidak sangka sebenarnya.

“Masa datang uji bakat, mereka suruh saya baca skrip sambil beremosi sedih.

“Selepas uji bakat, mereka menelefon saya dan suruh pegang watak utama dalam drama,” tutupnya.

Drama bersiri 20 episod yang diarahkan oleh Muhamad Riza Baharuddin itu ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat pukul 7 malam sejak 19 September lalu.

Selain Tracie, Luruhnya Bunga Cinta membariskan pelakon hebat lain seperti Redza Rosli, Bella Luna, Auni Yusri, Nabila Razali dan Aniq Durar.

TRACIE
sekeras-kerasnya menafikan rezeki memegang watak utama disebabkan wajahnya mirip
Mira Filzah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN