fbpx

Penduduk terkejut kawasan selamat dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang warga emas termenung di rumahnya yang dinaiki air akibat banjir ekoran hujan lebat yang berterusan di Kampung Paya Nongmi, Changlun semalam.

CHANGLUN – Seorang penduduk di Kampung Paya Nong Mi di sini tidak menyangka kawasan perumahan yang disangkakan selamat daripada banjir akhirnya dinaiki air sehingga menyebabkan mereka sekeluarga mengalami kerugian dan bergegas menyelamatkan diri.

Rashidi Dewa, 48, berkata, kali terakhir rumahnya dilanda banjir ialah pada 13 tahun lalu.

Katanya, dia mula menyedari tingkat bawah rumahnya dima­suki air ketika hendak menunaikan solat subuh pada pukul 6.30 pagi.

“Saya tak sangka rumah akan dimasuki air kerana kawasan ini sudah lama tidak banjir. Kali terakhir air bah ialah 13 tahun lalu iaitu ketika Kedah dilanda banjir besar.

“Hujan memang lebat sejak pagi semalam (kelmarin) dan hanya berhenti sekitar pukul 9 malam. Saya berjaga sehingga pukul 2 pagi dan ketika itu air belum masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Rashidi, melihatkan keadaan itu, dia dan ahli keluarganya bergabung tenaga menga­lihkan barang elektrik ke tempat lebih tinggi tetapi tidak sempat menyelamatkan kereta ProtonPerdana kerana air sudah naik melebihi paras tayar.

Tambahnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana ahli keluarganya selamat dan akan me­nunggu sehingga air surut untuk membersihkan rumah.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Zainol Abidin Mohamad berkata, seramai 1,347 murid diarahkan pulang kira-kira pukul 10 pagi semalam setelah paras air meningkat sehingga masuk ke dalam kelas.

“Kita tidak mahu merisikokan keselamatan murid. Guru dan kakitangan sekolah bertungkus lumus menyelamatkan barangan sekolah apabila hampir seluruh kawasan termasuk kelas terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, paras air di empat su­ngai telah melepasi paras bahaya sehingga menyebabkan beberapa kawasan termasuk Changlun dilanda banjir.

Katanya, empat sungai terlibat adalah Sungai Laka di Kampung Padang Pasir dekat Changlun, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dekat Kota Setar, Sungai Pendang di Pekan Pendang serta Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan.

Justeru, beliau meminta penduduk di kawasan berhampiran agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke tempat selamat.

Tambahnya, setakat ini terdapat dua pusat pemindahan sementara dibuka di Changlun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI