fbpx
Peningkatan kos sara hidup termasuk melibatkan harga barang memberi kesan kepada perbelanjaan ibu bapa yang mempunyai ramai anak. – Gambar hiasan

Isi rumah bawah RM5,000 tidak cukup ada anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Terbeban dengan peningkatan kos sara hidup selain komitmen bekerja mendorong ramai pasangan muda yang baru berkahwin khususnya di Lembah Klang memilih untuk menangguhkan hasrat memiliki cahaya mata.

Menurut mereka, kehidupan yang penuh mencabar selain keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini perlu dijadikan panduan dalam setiap perancangan rumah tangga termasuk dalam hal berkaitan anak.

Rata-rata pasangan muda mengakui, pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan yang diperoleh mereka ketika ini masih belum mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan dan simpanan, lebih-lebih lagi sekiranya memiliki cahaya mata.

Selain itu, panduan Belanjawanku 2022/2023 yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya turut melaporkan bahawa kos hidup selesa bagi pasangan suami isteri tanpa anak di Lembah Klang ialah RM4,630 sebulan.

Seorang pembantu akauntan, Amira Afiqah, 25, yang baru sembilan bulan mendirikan rumah tangga berkata, dia dan suami memang telah merancang berkaitan cahaya mata sebelum mereka berkahwin.

“Saya dan suami mahu memastikan anak yang bakal dilahirkan kelak dapat dibesarkan dengan persekitaran dan didikan terbaik.

“Ada masa kami memang terfikir memang seronok kalau ada anak sekarang, tetapi semuanya tentang duit dan kami rancang untuk dapatkan anak dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Amira, jumlah pendapatan isi rumahnya adalah RM4,400 dan secara kasarnya, sebanyak RM2,200 dibelanjakan untuk pelbagai komitmen antaranya bayaran sewa bulanan rumah, belanja dapur, insurans, bil-bil, minyak dan tol selain simpanan waktu kecemasan.

“Jika ada anak, saya anggarkan kira-kira RM1,000 lagi diperlukan terutamanya untuk bayaran pe­ngasuh, susu, lampin pakai buang dan kesihatan.

“Ini antara sebab kami merancang supaya kewangan keluarga kelak lebih terjamin,” jelasnya.

Selain itu katanya, peranca­ngan juga penting bagi memastikan kes pengabaian anak-anak dan keluarga berpunca daripada masalah kewangan tidak berlaku di kemudian hari.

“Banyak juga kes buang anak, anak terabai, gaduh sebab tidak cukup duit sehingga berlakunya penceraian. Semua ini membuatkan kami lebih cenderung untuk merancang.

“Tambahan sekarang barang dan keperluan anak pun agak mahal,” katanya lagi.

Seorang ahli perniagaan yang ingin dikenali sebagai Burhan, 35, pula berkata, komitmen kerja selain tinggal berjauhan de­ngan isteri membuatkan mereka membuat keputusan untuk menangguhkan hajat memiliki anak.

Katanya, walaupun cukup dari segi kewangan, namun hal melibatkan emosi dan tanggungjawab perlu diambil perhatian sebelum mereka bergelar ibu dan bapa.

“Faktor kewangan mungkin tidak menjadi masalah, tetapi saya dan isteri jarang sangat berjumpa sebab sibuk atas urusan kerja masing-masing.

“Saya menjalankan perniagaan di sebuah negeri di utara, manakala isteri pula terikat de­ngan kerjayanya di Lembah Klang. Biasanya, kami hanya berjumpa pada hujung minggu dan agak sukar untuk isteri menguruskan anak jika saya tiada di sisi.

“Atas sebab itu, kami merancang untuk tangguhkan dulu hasrat memiliki anak dalam masa terdekat sehinggalah kami dapat tinggal bersama,” katanya.

Bagi pekerja swasta Hafizi Mohd, 29, pula, dia dan pasangan yang telah mendirikan rumah tangga hampir setahun memilih untuk memiliki anak dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya, buat masa ini, mereka memilih untuk mengenali diri masing-masing lebih dekat sebelum beralih ke fasa seterusnya sebagai ibu bapa.

“Pada saya, proses kenali pasangan lebih dekat itu penting supaya kita lebih memahami diri masing-masing sebelum melangkah ke fasa seterusnya iaitu memiliki anak.

“Apabila kita saling mengenali dan memahami, proses membesarkan anak akan menjadi lebih mudah dan mampu kurangkan banyak konflik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN