Hidup dalam era milenium ini membuat kita sentiasa sibuk, namun jangan sampai orang tidak sedar kewujudan kita terutama dalam kehidupan berjiran.
Jangan pula apabila terkena ayat seperti ‘awak tinggal sini ke’ atau ‘itulah tidak mahu hidup bermasyarakat’ membuatkan kita panas hati.
Sebaliknya, semak diri kita dahulu kerana sikap ‘menyendiri’ dengan kesibukan kerja menjadi penyebab kelunturan semangat kejiranan. Selain itu, biasanya hanya jadi juara ‘membawang’ di media sosial mengecam jiran sendiri.
Malah, kadangkala hendak senyum atau tegur pun payah walaupun dalam lif sama. Namun tidak pada gajet atau telefon bimbit. Belum lagi ada gelagat amalkan dasar cepat tutup pintu walaupun jiran sebelah rumahnya melalui kawasan itu.
Janganlah anggap jiran seperti orang asing dan buat tidak tahu seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan, hampir sejuta rakyat Malaysia didapati tidak pernah bersemuka dengan jiran dalam tempoh sebulan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menyatakan, seramai 958,808 orang atau 6.5 peratus daripada 14.8 juta responden mengaku tidak pernah mempunyai interaksi bersemuka dengan jiran.
Menurut pakar psikologi, Dr. Meriam Omar Din, sebenarnya trend budaya bandar ini memberi impak kepada pembentukan banyak sikap individualistik sehingga konsep kejiranan persekitaran kediaman hampir pupus.
“Saya lihat hanya dua masa sahaja terjadi semangat kejiranan itu iaitu semasa kematian dan kenduri kahwin. Masa raya pun sukar sebab semua balik kampung masing-masing.
“Kalau rumah terbuka pun yang datang banyak kejiranan dari luar kediaman kita dan bukan jiran-jiran lokaliti itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambah beliau, sifat kejiranan perbandaran ketika ini hanya berkaitan dengan rakan-rakan yang mempunyai kaitan dengan jawatan atau kerja sahaja.
Ujar Meriam, penyatuan perhubungan jiran sekeliling kurang berlaku susulan orang bandar mempunyai sedikit masa dalam kehidupan harian apabila pulang dari kerja untuk ‘bermajmuk’ dengan jiran-jiran sebelah.
“Semangat komuniti mereka bukan dalam kejiranan sekelilingnya, sebaliknya lebih kepada rakan sekerja walaupun tinggal jauh.
“Kalau jiran-jiran sekeliling, tiada perhubungan sangat ekoran tidak kenal seterusnya menyebabkan berlaku sifat waspada dan curiga susulan tiada kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Jelas Meriam, hikmah semasa pandemik Covid-19 yang perlu dipelajari dan terus diamalkan adalah budaya tegur, hormat dan bantu sama lain meskipun kita telah kembali sibuk bekerja.
“Hidup kejiranan sekeliling sebenarnya mampu menjadi ejen penyatuan masyarakat. Usaha serius perlu dilakukan dengan sengaja bagi memperkukuhkan lagi semangat ini.
“Tidak hanya melibatkan program rukun tetangga, sebab kalau 100 rumah yang ada dalam komuniti itu, hanya 10 orang atau rumah sahaja sedia bertugas atau bergilir melakukannya,” katanya.















