fbpx

Isu tafsir ayat al-Quran: Howard Lee mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Howard Lee (duduk, empat dari kanan) melakukan permohonan maaf di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How hari ini tampil membuat permohonan maaf berikutan dakwaan beliau membuat tafsiran sendiri potongan ayat al-Quran daripada surah an-Nisa dan berharap polemik yang tercetus disebabkan perkara itu dihentikan.

Menurutnya, dakwaan beliau mentafsir ayat al-Quran tidak benar kerana beliau cuma memetik ayat yang telah dikaji dan diajar oleh golongan ustaz seperti yang juga pernah dilakukan oleh Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“Apa pun yang saya ulas bukan sahaja agama Islam, tetapi mana-mana topik bukan dalam kepakaran saya, kajian telah dilakukan sendiri termasuk talaqi dengan orang alim dan ustaz barulah saya berani untuk membina pandangan. Itu pun saya tidak tafsir cuma memetik apa yang diajarkan.

“Bagaimanapun, saya ambil kesempatan ini untuk mohon maaf atas segala kesulitan yang wujud, bukan sahaja bagi pihak saya sendiri malah semua pihak termasuk rakan-rakan bukan Islam daripada DHPP dan Gerakan yang memetik ayat al-Quran dalam konteks politik,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat Howard Lee selepas beliau selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar pukul 2 petang.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau turut menyambut baik nasihat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang bagi mengelakkan fitnah.

Dalam pada itu, Howard Lee yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP menyuarakan rasa sangsi terhadap tindakan Pas apabila dilihat memilih ‘menyerang’ DAP berkaitan isu itu sedangkan ketika bersama dalam gabungan politik, perkara itu ‘dihalalkan’ Pas.

“Kenapa dahulu bila DAP berada dalam satu wadah dengan Pas, boleh dan digalakkan untuk belajar dan mendalami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran, tapi sekarang pula tidak boleh. Saya juga sangsi, mengapa DHPP boleh sahaja baca dan lafaz dalam bahasa Arab ayat al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI