fbpx

Ibu simbah air panas geram anak habiskan data internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyimbah air panas terhadap anak kandungnya berusia 13 tahun gara-gara berang mangsa menghabiskan data internet telefon bimbitnya, tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di Sungai Udang pada 27 Jun 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau dengan sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian selepas berang mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik telah menghabiskan data internet di telefon bimbitnya.

Tertuduh sebelum ini juga didakwa sering memukul anaknya, namun perkara itu tidak dilaporkan dan hanya terbongkar selepas rakan remaja itu menyedari kotoran seperti kesan luka pada baju sekolah dipakai mangsa.

Rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sebelum kes dilaporkan kepada pihak polis.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon agar jaminan tidak dibenarkan dengan mengambil kira faktor tertuduh dan mangsa tinggal di rumah yang sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan bagi jaminan.

Mahkamah kemudian bersetuju dengan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh 26 Oktober depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI