fbpx

Anwar lebih hargai kebebasan, belas kasihan selepas keluar penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika sesi wawancara bersama CNN.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan pengalamannya di penjara menjadikan dirinya lebih menghargai makna kebebasan, demokrasi dan belas kasihan.

Beliau dalam wawancara bersama CNN turut berkongsi keadaan di penjara di mana dia pernah dipukul sehingga hampir mati dan menyifatkan pengalaman itu amat memeritkan bukan sahaja buat dirinya tetapi isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, keluarga dan rakan-rakan.

“Ia sukar. Sudah tentu penjara bukan tempat yang mudah tapi saya didera dan dipukul dengan teruk sehingga hampir mati pada malam saya ditahan oleh Ketua Polis.

“Apa yang saya belajar itu penting. Makna kebebasan, demokrasi, belas kasihan dan negara mesti menghormati kedaulatan undang-undang serta hak asasi manusia untuk menyatakan pendirian mereka,” katanya.

Anwar berkata, apa yang dilaluinya itu menjadikan beliau lebih demokrat, percaya kepada nilai hak asasi manusia dengan lebih lagi berbanding ketika ditahan dan dituduh dalam penjara.

Wawancara yang dihoskan pengacara, Christiane Amanpour disiarkan CNN pada pukul 1 pagi waktu tempatan, hari ini.

Ia sempena kehadiran Anwar ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat.

Terdahulu, Anwar dikenakan hukuman penjara dua kali sebelum ini iaitu pada 1999, beliau yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, dikenakan hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan seks luar tabii (liwat) sebelum dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan Malaysia menggugurkan sabitan kesalahan liwat terhadapnya.

Pada 2014, beliau sekali lagi dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 16 Mei 2018 , Anwar memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI