“JIKA aku tidak menoleh ke belakang lagi, percayalah pada waktu itu, aku benar-benar sakit.”
Begitulah ayat pada lukisan yang diinspirasikan daripada sebuah video berdurasi 18 saat, diiringi muzik sayu beserta kapsyen berbentuk doa yang tular di pelbagai medium media sosial.
Video tersebut memaparkan seorang pekerja p-hailing berjalan kaki setelah motosikalnya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Menurut JPJ, pekerja Foodpanda tersebut melakukan kesalahan menunggang motosikal dengan lesen tamat tempoh dan tiada insurans.
Namun atas naratif sedih yang dipaparkan, pekerja Foodpanda itu menerima sebuah motosikal jenis LC135 V8 daripada pempengaruh terkenal, Aisar Khaledd.
Bagi penulis, mungkin sudah tertulis rezeki rider itu menerima ganjaran motosikal di saat dia reda diuji dengan kesulitan.
Beberapa hari selepas itu, muncul lagi sebuah video memaparkan anggota JPJ dirempuh penunggang motosikal di Kilometer 28, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan.
Penunggang motosikal itu didapati mempunyai lapan rekod lampau kes dadah dan jenayah.
Namun, alangkah terkejutnya penulis apabila membaca bahagian komen di TikTok apabila rata-rata menyokong tindakan penunggang tersebut.
Ramai merasakan bahawa tindakan penunggang tersebut merupakan satu ‘balasan’ kepada ‘penindasan’ terhadap pekerja Foodpanda sebelum ini.
Ketika sambutan Hari Merdeka, rakyat Malaysia meluahkan rasa syukur dan hormat kepada insan-insan yang menjaga keselamatan dan keharmonian.
Bagaimanapun sentimen tersebut berubah dalam sekelip mata kerana sebuah video?
Menurut Ketua Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Wan Amizah Wan Mahmud, penggunaan jenis audio, suntingan dan kapsyen membantu penceritaan untuk mencapai matlamat disebalik sesuatu kandungan media tersebut.
“Tetapi, sekiranya kita silap twist cerita itu, perkara itu boleh backfired. Terutama apabila sentimen dimainkan bagi mencipta sesuatu naratif sedih seperti penindasan,” katanya.
Tambahnya, elemen simpati dan kesedihan merupakan antara satu jenis penceritaan yang sangat ‘berkuasa’.
Menurutnya, seringkali, masyarakat melihat kandungan tersebut secara black and white tanpa ambil kira pelbagai aspek.
“Bagi isu JPJ dan rider, segelintir masyarakat seakan-akan tidak mengambil kira soal tanggungjawab penguat kuasa yang perlu amanah terhadap tugasnya.
“Bahkan mereka cenderung menyokong tindakan pesalah laku, setelah dia dinaratifkan sebagai ‘tertindas’ dan bukannya cuai atau culas,” ujarnya.
Wan Amizah berkata, penting untuk masyarakat pada masa ini menguasai ilmu literasi media agar tidak mudah dibuai emosi berdasarkan sebuah kandungan media.
“Masyarakat perlu melihat sesuatu kandungan daripada pelbagai sudut termasuk niat di sebalik perkongsian, situasi sebenar termasuk bahagian yang tidak dirakam serta undang-undang berkaitan.
“Jangan percaya 100 peratus apa yang dipaparkan. Nilai isi kandungan berdasarkan pendapat sendiri secara logik setelah lakukan pelbagai semakan dari pelbagai sumber,” ujarnya.














