fbpx

Lima lelaki ditahan, dadah bernilai lebih RM1 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Yusri (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Perak, Ipoh hari ini.

IPOH – Polis menahan lima lelaki dan merampas 26.18 kilogram dadah jenis ketamin dalam tangkapan berasingan di Kampung Gunung Rapat dan Kampung Rapat di sini kelmarin.

Tangkapan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu turut membawa rampasan 3.35 liter dadah jenis sama dan methamphetamine seberat 1.82 gram dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1,571,040.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki berusia 20 hingga 25 tahun di tepi jalan di Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat pada pukul 9.15 malam.

Katanya, pemeriksaan ke atas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki ketiga-tiga suspek telah menjumpai kesemua dadah yang dirampas.

“Tangkapan itu membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah di Kampung Rapat di mana dua lelaki berusia 21 dan 27 tahun ditahan.

“Siasatan mendapati, kumpulan penjenayah itu aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak awal bulan ini dan dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Dianggarkan, dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 52,352 orang penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mendapati empat daripadanya positif dadah jenis THC dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai RM380 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM30,380.

“Kelima-lima suspek yang dua daripadanya tidak bekerja itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI