fbpx

Mahkamah: Syed Saddiq bersalah atau bebas diputus 9 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq .

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disabitkan atau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada 9 November ini.

Tarikh tersebut diperolehi oleh pihak media menerusi semakan sistem kehakiman mahkamah, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi turut mengesahkan tarikh tersebut.

Nasib Ahli Parlimen Muar itu akan ditentukan oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pihak pembelaan menutup kes pada 14 Mac lalu dengan mengemukakan keterangan empat saksi termasuk Syed Saddiq.

Pada 27 September 2022, pendakwaan menutup kesnya selepas 30 saksi selesai memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Jun 2022.

Pada 10 April dan 11 April lalu, Hakim Azhar mendengar penghujahan Wan Shaharuddin dan Mohd. Afif Ali serta peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq.

Gobind berhujah, bukti keterangan kes menunjukkan kedua-dua bekas pemimpin Armada itu pada setiap masa bertindak demi kepentingan sayap parti tersebut selaras dengan Perlembagaan Bersatu.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah dan salah guna harta serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI