fbpx

Aktiviti ekstrem mesra kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti flying fox.

TIDAK ramai yang tahu, sukan lasak sebenarnya memainkan peranan penting dalam perkembangan tumbesaran kanak-kanak.

Cabaran dan halangan yang tersedia dalam setiap aktiviti mampu meningkatkan fleksibiliti, keseimbangan serta koordinasi tubuh si kecil.

Dari sudut perkembangan minda pula, melakukan aktiviti lasak juga mampu membantu meningkatkan daya tumpuan mereka dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.

Namun, ibu bapa perlu memastikan setiap pendedahan terhadap sukan lasak dilakukan secara berperingkat.

Kesempatan tersebut diambil oleh ibu bapa sempena Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Gombak, Selangor yang berlangsung pada 16 dan 17 September lalu.

Penganjuran kali kelapan karnival tersebut menawarkan tujuh aktiviti lasak seperti flying fox, panjat batu kapur, abseiling, panjat pokok, paintball, base jump dan memanah.

Seorang pengunjung, Fara Waheda Ahmad Murshid, 37, berkata, anak-anaknya, Keisha Qaisara Elley Roulzee, 10, Adam Aryan, 9, dan Khayla Qaireena, 3, sangat teruja untuk mencuba sukan-sukan yang disediakan.

“Ini tahun kedua saya bawa anak-anak menyertai aktiviti lasak pada karnival ini. Mereka sangat teruja dan sanggup beratur panjang untuk cuba sukan ekstrem dan panjat pokok.

“Selain panjat pokok, anak-anak saya juga cuba sukan memanah dan paintball terutama anak lelaki saya, dua kali dia sertai sukan memanah,” katanya kepada Horizon.

SEORANG
kanak-kanak mencuba aktiviti panjat pokok ketika Karnival Ekstrem Gua Damai 2023 di Batu Caves, Selangor
baru-baru ini.

Tambah wanita yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu, sukan-sukan lasak mesra kanak-kanak di karnival tersebut memiliki ciri-ciri keselamatan lengkap.

Perkara tersebut membuatkan ibu bapa berasa tenang melihat anak-anak mereka mencuba aktiviti yang mencabar tahap fizikal dan mental mereka.

“Setiap aktiviti disediakan alat-alat keselamatan yang lengkap. Sebagai contoh, terdapat set memanah yang tidak tajam dan berbahaya untuk kanak-kanak.

“Pegawai-pegawai yang mengendalikan aktiviti juga peramah, mudah berikan penerangan lengkap serta bimbingan untuk setiap aktiviti yang ada,” jelasnya.

Aktiviti lain yang diadakan pada karnival itu adalah pembelian barangan kitar semula, demo membuat lilin aromaterapi daripada minyak masak terpakai dan cara-cara menghasilkan‘ekobrick’ menggunakan barang kitar semula untuk dijadikan perabot.

Sebagai rekod, Taman Ekstrem Gua Damai merupakan salah satu geotapak bagi Gombak-Hulu Langat Geopark dan berjaya melalui sesi penilaian kebangsaan pada 16 hingga 18 Ogos 2022.

Rentetan itu, taman tersebut diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ketujuh di Malaysia pada 14 November 2022.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Rahim Ahmad Kasdi, lebih 4,000 orang hadir pada Karnival Ekstrem Gua Damai Tahun 2023 yang diadakan selama dua hari itu.

Beliau berharap, pada masa akan datang, Taman Ekstrem Gua Damai akan menjadi tumpuan peminat-peminat sukan ekstrem untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak.

“Taman Ekstrem Gua Damai bukti kepada komitmen Majlis Perbandaran Selayang untuk menyediakan lokasi aktiviti bagi peminat-peminat sukan ekstrem.

“Saban tahun, tempat ini menjadi tumpuan penerjun seluruh dunia menyertai Gua Damai International Base Jump,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI