LAMA tidak beraksi beramai-ramai atas satu pentas, penyanyi Misha Omar menganggap peluang sepentas dengan penyanyi otai serta rakan seperjuangan kelahiran Bintang RTM umpama mengimbau semula memori indah masa lalu.
Ibarat hilang segala sakit, masalah kesihatan yang impak terhadap peti suara akibat deman sejak 31 Ogos lalu juga bukan menghalang pelantun Bunga Bunga Cinta itu menonjolkan persembahan mantap dalam Konsert Ini Baru Bintang 2, baru-baru ini.
Baginya, konsert mega siaran secara langsung menerusi TV2 pada minggu lalu begitu istimewa sementelah dijayakan bersama alumni Bintang RTM.
“Sebenarnya saya mengalami episod deman yang agak lama iaitu sejak Hari Kemerdekaan yang menyebabkan batuk serta gejala lain. Namun paling saya risaukan adalah keadaan anak bongsu yang turut terjangkit.
“Apabila menjelang persembahan di Kota Media, Angkasapuri, demam sudah kebah tetapi tekak masih perit membuatkan saya mendapatkan rawatan serta suntikan supaya masalah ini dapat dikurangkan.
“Peluang sepentas dengan ramai penghibur hebat kelahiran Bintang RTM seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Andre Goh dan Salamiah Hassan tidak mungkin saya lepaskan. Alhamdulillah saya dapat doktor yang bagus dengan izin-Nya,” ungkap penyanyi itu.
Misha, 41, turut mengakui isu kesihatan menjadi kebimbangan setiap penyanyi biarpun sudah melakukan pelbagai persediaan bagi menghadapi sesuatu persembahan.

Bintang RTM istimewa
Selain tiga penghibur dihormati ramai itu, Konsert Ini Baru Bintang turut dimantapkan Ernie Zakri, Azharina Azhar, Aqasha, Ezad Lazim, Najib Hanif, Dewi Sariestha, Eylia Guntabid dan Syahz Mohamad.
Mengimbas semula penyertaan dalam pertandingan tersebut ketika berusia 17 tahun, Misha menyifatkan Bintang RTM telah menjadikan dirinya sebagai Misha Omar pada hari ini.
“Walaupun tidak bergelar juara, Bintang RTM mengajar saya banyak perkara kerana saya menerjah masuk ke arena ini pada usia 17 tahun, tanpa apa-apa pengetahuan fasal dunia muzik. Kosong.
“Saya akui banyak peluang hadir selepas itu dengan sokongan banyak pihak sehingga akhirnya saya terus berdiri di sini selepas lebih 20 tahun. Ini perjalanan panjang yang sarat warna.
“Menyertai pertandingan prestij ini juga memperkenalkan saya dengan ramai insan hebat yang sangat istimewa termasuk Allahyarham Siti Sarah Raisuddin,” ulasnya yang menjadi finalis bersama Siti Sarah bagi Bintang RTM edisi 2001.
Pada pertandingan tersebut, Azharina meraih gelaran juara, manakala naib juara dimenangi Asmidar Ahmad.

Sebagai penggiat industri yang sudah lebih separuh daripada hidupnya ditumpahkan terhadap nyanyian, pengalaman nyata mematangkan Misha.
Dia tetap meminta pendapat pakar sebelum meneruskan tanggungjawab di pentas.
“Setiap kerjaya mempunyai cabaran, begitu juga dengan nyanyian dan kita perlu menyusun pelan B sebagai persediaan andai berlaku ujian tidak diduga terutama membabitkan vokal kita.
“Tidak boleh main redah menyanyi begitu sahaja kerana silap langkah boleh menjejaskan aset utama sebagai penyanyi. Jika pakar memberi lampu hijau, kita boleh teruskan kerana kita pun enggan susahkan mana-mana pihak,” kongsinya lagi.
Diminta berkongsi tentang perjuangan mendapatkan seorang lagi anak, terutama zuriat perempuan, ibu kepada dua putera berusia tujuh dan 17 tahun itu hanya berserah kepada takdir, namun tidak pernah putus harapan.

Teruskan misi IVF
Begitupun, Misha kini mengambil pendekatan tertutup daripada terus berkongsi tentang rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang dijalani. Semua itu bagi menjaga sensitiviti suami isteri yang disahkan tiada harapan mendapat zuriat.
Menurut anak seni kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, pendedahan berkenaan rawatan IVF yang dilakukan sejak Jun 2021 ada melukakan banyak hati insan lain.
“Saya terima pelbagai maklum balas ramai terutama mereka yang masih berikhtiar untuk mendapatkan anak ketika mula-mula menjalani IVF. Doakan saya,” ulasnya yang bersyukur suami tercinta memberi sepenuh sokongan.
Bertemu jodoh dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa, tujuh tahun dan seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir, 17.
Sekitar pertengahan tahun 2021, pelantun Cinta Adam dan Hawa itu mendedahkan telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk hamil anak kedua.
Malah, dia turut mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja dalam laman sosialnya sebagai rakaman pengembaraan untuk memiliki anak perempuan.

















