SEWAKTU melanjutkan pelajaran dalam bidang seni tari kontemporari di Amerika Syarikat (AS), gadis itu kagum melihat kemahiran rakan-rakannya ketika mempersembahkan tarian di dalam kelas.
Pun begitu, apabila tiba dirinya untuk menunjukkan bakat, awalnya, Hannah Moujing, 29, bingung kerana berasa tiada kelainan dalam tarian yang boleh dipersembahkannya.
Namun, terbit dalam fikirannya untuk menggabungkan tarian moden dengan etnik Borneo yang kemudian berjaya mengagumkan tenaga pengajar dan rakan-rakan lain.
Menurut Hannah, meskipun dia banyak belajar tentang seni tari kontemporari sejak kecil, kesedaran buatnya untuk mempelajari seni tarian tradisional Sabah tercetus sewaktu belajar di luar negara.
“Saya sudah belajar tarian kontemperari sejak berumur tujuh tahun dan kemudian mengambil pengajian tambahan di luar negara dalam bidang sama.
“Namun, semasa menyambung pengajian, barulah saya terfikir bagaimana ingin tampil berbeza daripada pelajar lain dan pada masa sama mencipta identiti sebagai seorang penari menerusi seni tari Borneo,” kata gadis Sabah berketurunan etnik Kadazan itu ketika ditemui K2 pada program Pentas Seni Merdeka di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah graduan ijazah psikologi dari University of Washington, Seattle itu, sewaktu di bumi AS itulah, dia meneroka identiti dirinya dengan melihat semula asal usulnya yang kaya dengan seni tradisional.
Kongsinya, ketika itu juga dia mula pelajari lebih mendalam tarian etnik-etnik di Borneo menerusi buku dan YouTube seterusnya menampilkannya dalam persembahan di sana.
Bagaimanapun, selepas pulang ke tanah air, dia kemudian menyedari seni tari tradisional di Sabah terutamanya tidak terlalu berkembang dan hanya diamalkan sekitar komuniti.
“Di negeri saya, banyak tarian yang ramai tidak tahu, malah ia tidak keluar daripada lingkungan mereka kerana kurang diberi peluang untuk mempersembahkannya dalam apa-apa acara atau program.
“Senario seni di Sabah juga tidak begitu meriah yang mana boleh dikatakan kurang program memperkasa seni seperti Pentas Seni Merdeka berikutan beberapa faktor terutama bajet,” kata Hannah.
Jelasnya, dengan semangat untuk mengangkat seni tarian tradisional Sabah, Hannah melaksanakan pelbagai usaha dengan mencari peluang buat penari-penari tempatan untuk membawa seni tarian tradisi itu keluar dari kepulauan tersebut.
Berhijrah ke Kuala Lumpur, Hannah bergiat aktif dalam pelbagai program seni dan mengumpulkan penari-penari profesional di bawah satu gerakan selain melibatkan mereka untuk mempromosikan seni tersebut.
Dia turut menerajui beberapa gerakan persembahan seni seperti TARI Circle dan Sesi Tikar Mengkuang bagi mengangkat tarian seni tradisional Borneo terutama dari Sabah.
“Ramai penari yang bergerak sendiri dan mereka adakalanya tidak mendapat peluang untuk membawa seni mereka ke pentas yang lebih besar.

“Menyedari hal itu saya kumpulkan semua penari ini dan membawa mereka bersama-sama dalam program yang saya sertai,” ujarnya yang turut mengasaskan Work in Progress Kota Kinabalu, satu gerakan yang mengetengahkan penggiat seni kreatif tempatan bagi mempamer dan menghubungkan hasil kerja mereka dengan rangkaian pelabur.
Kongsi Hannah, buat masa ini dia mahir dalam tarian sumazau yang ditarikan etnik Kadazan dan magunatip yang ditarikan etnik Murut.
Terangnya, keunikan tarian sumazau terletak pada gerak tarinya yang berinspirasikan burung.
“Tarian ini asalnya bertujuan menyambut semangat padi selepas aktiviti menuai dan gerakannya melambangkan simbol petani menghalau burung daripada memakan hasil padi,” ujarnya.
Mengakui masih belum menguasai semua seni tari tradisional dari Sabah, Hannah memberitahu, dengan usaha yang dijalankan ini, dia juga sekali gus dapat belajar dan mendalami tarian daripada penari-penari profesional.
Turut terlibat bersama Hannah memperjuangkan seni tari dari Sabah, Fredolin Anson, 36, memberitahu, membawa seni dari tanah kelahirannya itu bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Berasal dari Tambunan, Sabah, pemuda yang mesra disapa Fred itu memperjuangkan seni tarian magunatip atau anggalang magunatip.
Menurutnya, magunatip yang dikenali sebagai tarian buluh tradisional pahlawan Sabah merupakan salah satu tarian daripada etnik Murut yang menjadi tradisi dalam keraian.
“Dalam persembahan, penari akan mula bergerak hendap seperti memburu dengan membawa sumpit dan penghadang (kelebit).
“Tarian kemudian disusuli dengan menginjak kaki di antara buluh-buluh yang digerak dan dikepit. Ia melambangkan perjalanan mereka mengharungi cabaran,” jelasnya.
Kongsi Fred, dia mula pelajari seni tarian itu ketika berusia 23 tahun selepas disarankan isterinya yang juga merupakan penari dan pemain alat muzik tradisional sape.
“Isteri dan keluarga melihat bakat saya dalam tarian dan kemudian menyarankan supaya belajar tarian tradisional Sabah.
“Selepas mencuba, saya tidak menyangka boleh cepat ‘menangkap’ setiap langkah serta teknik tarian, seterusnya diberi pendedahan menyertai kumpulan penari membuat persembahan di Singapura,” kata lelaki etnik Dusun itu.
Menetap di ibu kota, Fred memberitahu, sejak itu dia aktif menyertai aktiviti seni kebudayaan, namun peluang itu bukan selalu ada.
Katanya, dia pernah berehat daripada bergiat dalam seni tari kerana perlu mencari nafkah untuk keluarga.
Jelasnya, membawa seni tradisional agak sukar untuk bertahan sebagai satu karier jika dilaksanakan secara sepenuh masa.
“Sebagai penari tradisional, tidak banyak peluang untuk kami membuat persembahan termasuk di Sabah.
“Hal ini menjadikan kami perlu lebih berjuang untuk mengangkat seni ini dan sentiasa mencari peluang yang ada antaranya dengan berhijrah ke Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun sejak kebelakangan ini, sudah banyak program kebudayaan yang turut melibatkan seni Borneo dianjurkan sekali gus membuka peluang buat anak jati Sabah memperkenal budaya mereka.
Katanya lagi, masih ada banyak seni tari tidak diketahui orang awam dan wajar diberi peluang untuk diketengahkan kerana setiap tarian itu membawa sejarah dan kisah daripada kepelbagaian etnik Borneo.















