fbpx

Mahkamah: Muhyiddin akan mohon batal tiga lagi pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memohon untuk membatalkan tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, pada sebutan tiga kes itu dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

“Pihak kami akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tiga lagi pertuduhan (pengubahan wang haram),” kata peguam itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Muhyiddin atas empat pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Rayuan.

Menurut beliau, notis rayuan itu difailkan pada 15 Ogos lalu dan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 27 September ini bagi pengurusan kes.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, hakim Azura kemudian menetapkan 29 November ini bagi sebutan semula kes.

Pada tarikh itu pihak-pihak perlu memaklumkan status rayuan pendakwaan selain perkembangan Muhyiddin untuk membatalkan tiga lagi pertuduhan itu.

Dalam prosiding hari ini, Muhyiddin tidak hadir berikutan kehadirannya dikecualikan.

Pada 15 Ogos lalu, Peguam Negara dalam kenyatannya memaklumkan tiga lagi pertuduhan Muhyiddin masih kekal.

Mengikut pertuduhan di bawah AMLATFPUAA, Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat pertuduhan salah guna kuasa bagi suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI