fbpx

Tubuh Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak atasi isu abai, dera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang berkuat kuasa bermula 1 September lalu disifatkan sebagai solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa sama, jabatan juga meluluskan pelantikan sebanyak 169 perjawatan kontrak pelbagai skim perkhidmatan dan gred bagi 2023.

Katanya, kelulusan itu bagi memperkukuhkan struktur di peringkat ibu pejabat dan seterusnya di daerah serta jajahan.

“Ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

“Jabatan itu diyakini berupaya memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya di sini tadi.

Jelas, usaha menggerakkan komuniti yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung juga akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

“Ini selaras dengan tonggak Malaysia MADANI yang menyasarkan kesejahteraan masyarakat termasuk menjaga keselamatan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak.

“Kementerian juga menyeru masyarakat untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan laporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-261 5999 yang beroperasi selama 24 jam,” jelasnya.

Pada masa sama, Nancy juga merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan yang meluluskan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI