fbpx

Mahkamah: Pemuda terpotong zakar tak dapat ganti rugi RM1.3 juta, hanya peroleh RM123,556

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Seorang pemuda berusia 22 tahun yang alat sulitnya terpotong ketika berkhatan 12 tahun lalu hanya memperoleh RM123,556 oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ravintharan Paramaguru selepas mendapati jumlah RM3.1 juta seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah terlalu tinggi.

Meskipun jumlah itu dipinda, panel-panel tersebut berpendapat perayu iaitu Kerajaan Malaysia dan empat yang lain bertanggungjawab terhadap insiden itu.

“Kami tidak berhasrat untuk menggangu dapatan yang dibuat oleh hakim terdahulu berhubung isu liabiliti (tanggungjawab) yang mendapati kesemua perayu telah cuai apabila melengahkan rawatan yang sepatutnya diberikan kepada responden (pemuda itu) sehinggalah pembedahan dilakukan pada pukul 8.30 malam.

“Bagaimanapun, bagi isu ganti rugi, kami mendapati campur tangan daripada pihak kami. Ganti rugi am sebanyak RM2 juta adalah terlalu tinggi. Oleh itu kami hanya memberikan RM100,000 bagi ganti rugi am. Ganti rugi teruk dan teladan yang masing-masing berjumlah RM500,000 (yang diperoleh sebelum ini) setiap satu turut dibatalkan kerana ia tidak pernah dimasukkan dalam pliding saman,” kata Hakim Ravintharan.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk See Mee Chun dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam prosiding hari ini, perayu merupakan Kerajaan Malaysia; Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; Pengarah Hospital; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi RM3.1 juta kepada seorang pemuda berusia 22 tahun yang alat sulitnya terpotong ketika berkhatan 12 tahun lalu selepas mendapati hospital cuai dalam kejadian itu.

Pada 7 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman kecuaian yang difailkan pemuda berkenaan terhadap Kerajaan Malaysia, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, Pengarah Hospital, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan ganti rugi khas RM108,356, ganti rugi RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM500,000 kepada mangsa.

Hakim Akhtar dalam penghakimannya berkata kelewatan Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan beberapa pegawai perubatan termasuk doktor pakar mengambil langkah pantas untuk menyelamatkan kepala zakar yang terpotong menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Beliau berkata, daripada bertindak untuk menghantar mangsa ke Hospital Selayang dengan cepat, defendan pertama yang juga pegawai perubatan di Hospital Kuala Lipis sebaliknya melakukan perkara remeh temeh.

Katanya, keterangan saksi plaintif dan defendan turut menunjukkan prosedur yang sepatutnya dilakukan ialah bukannya menyambung semula kepala zakar yang terputus tetapi memelihara kepala zakar terbabit.

Hakim itu turut menyentuh mengenai tiada ganti rugi dapat menggantikan aset paling berharga seorang lelaki dan kesengsaraan serta perasaan malu mangsa disebabkan ‘kehilangan’ itu.

Walaupun begitu, katanya mahkamah perlu memberikan ganti rugi yang boleh membantu mengurangkan beban mangsa dan keluarga untuk membantunya mendapatkan semula keyakinan bersosial seperti manusia normal yang lain.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 10 Julai 2018 oleh mangsa melalui ibunya ketika berusia 18 tahun, menyatakan insiden berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika mangsa berusia 10 tahun mengakibatkan keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Plaintif mendakwa, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.

Laporan perubatan menyatakan bahawa pemuda terbabit telah kehilangan 90 peratus daripada zakarnya.

Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata beliau terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi berada pada batang zakarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI