fbpx

Lelaki ditembak di Machang ada rekod jenayah, dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik menjalankan siasatan terhadap trak pikap mangsa di Jalan Hutan Kuin, Machang semalam. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang maut ditembak di dalam sebuah trak pikap di depan sebuah bengkel di Jalan Hutan Kuin, Machang petang semalam mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, mangsa berusia 38 tahun itu bekerja sebagai peniaga.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, suspek yang terlibat dalam kes tersebut merupakan dua orang lelaki tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Honda berwarna putih.

“Nombor pendaftaran kereta yang dinaiki kedua-dua suspek tidak dapat dikenal pasti. Suspek melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah tingkap pemandu trak pikap terbabit.

“Tembakan itu menyebabkan mangsa yang berada di kerusi pemandu trak pikap itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, motif kejadian tersebut masih disiasat.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut diminta untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi balai polis berdekatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kosmo! semalam melaporkan, seorang pemilik bengkel maut dipercayai terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh sekumpulan lelaki di depan sebuah premis alat ganti kenderaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.

Saksi kejadian, Mohd. Zulkarnain Abdullah, 27, berkata, dia terdengar tiga das tembakan secara berturut-turut sebelum mendapati mangsa meninggal dunia di dalam sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton.

Menurutnya, dua buah kereta dilihat terus memecut laju selepas bunyi tembakan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI