fbpx

Lelaki China obses peraga gaya Lolita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
D-JIANG mempunyai lebih 200 pasang gaun Lolita untuk digayakan pada setiap hari.

FESYEN Lolita yang merangkumi pakaian seperti dres paras lutut dengan perincian ropol mempunyai pengikutnya tersendiri.

Gaya comel itu berasal dari Jepun sejak tahun 1970-an dan sering diperagakan oleh golongan wanita muda.

Begitupun, seorang lelaki dari China baru-baru ini menjadi sensasi internet apabila dia menggayakan fesyen Lolita setiap hari untuk ke pejabat.

D-Jiang, 36, yang merupakan bekas pengatur cara komputer di sebuah syarikat internet terkemuka di China berkata, dia mula memakai pakaian Lolita ke pejabat setiap hari sejak dua tahun lalu.

Malah, isterinya yang juga merupakan peminat fesyen tersebut amat menyokong minat D-Jiang.

Ujarnya, setiap hari, dia akan menghabiskan masa sekitar dua jam untuk bersiap termasuk bersolek seperti gadis Lolita dan mendandan rambutnya.

“Setiap kali saya mengambil masa untuk bersiap dan memakai sehelai gaun cantik, saya berasa seolah-olah saya menggunakan masa yang ada itu dengan baik,” katanya.

D-Jiang berkata, dia mula memakai pakaian Lolita ke perjumpaan kelab anime di China.

Namun, pada 2019, beberapa insiden berlaku dalam hidupnya sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memperagakan fesyen Lolita sebagai pakaian harian ke pejabat.

“Pada 2019, saya kehilangan beberapa orang saudara dan kucing kesayangan yang dijaga selama 10 tahun. Mereka pergi meninggalkan saya.

“Saya cukup terkesan dengan perkara itu. Saya berasa bahawa saya perlu meraikan kehidupan setiap hari,” katanya.

Kegilaan D-Jiang terhadap Lolita bermula apabila dia dan isterinya yang ketika itu masih merupakan teman wanita kerap bergaya dengan fesyen itu untuk ke acara-acara kostum.

Selepas berkahwin, isterinya merupakan penyokong terkuat D-Jiang.

Dia juga banyak mendapat tip kecantikan dan solekan daripada wanita itu.

D-Jiang mempunyai lebih 200 pasang gaun Lolita yang berharga lebih 400,00 yuan (RM257,464).

Bagi D-Jiang, pakaian sebenarnya tidak mempunyai jantina.

D-JIANG memperagakan gaya Lolita ke pejabat pada setiap hari.

Oleh itu, dia tidak kisah untuk memperagakan gaun untuk ke pejabat pada setiap hari.

“Saya percaya bahawa pakaian sebenarnya tidak mempunyai jantina.

“Apabila saya memakai gaun, ia tidak bermakna saya memakai pakaian wanita. Bagi saya, gaun adalah gaun,” katanya.

D-Jiang berkata, apabila memakai sehelai gaun, dia lebih memahami cabaran yang dilalui oleh wanita setiap hari.

“Apabila saya memakai pakaian wanita, saya boleh merasai sendiri kesukaran dan cabaran yang dilalui oleh mereka,” katanya.

Kisah D-Jiang turut menjadi inspirasi kepada beberapa pengguna media sosial di China.

Seorang pengguna media sosial menyokong kenyataan D-Jiang yang mengatakan bahawa gaun tidak mempunyai jantina.

“Sebelum seluar dicipta, semua orang memakai gaun dan pengkelasan pakaian mengikut jantina dicipta oleh masyarakat. Ia bukan sesuatu yang semula jadi.

“Justeru, perkara itu merupakan sesuatu yang boleh diubah,” tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengguna media sosial memuji sokongan yang diberikan oleh isteri D-Jiang terhadap minat suaminya itu.

“Isterinya merupakan isteri yang hebat. Itulah yang disifatkan sebagai cinta sejati iaitu apabila anda menghormati dan menerima suami sepenuhnya,” tulis seorang lagi pengguna media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI