Baru-baru ini tular satu rakaman video yang memaparkan seorang peniaga gerai makanan memarahi sekumpulan wanita yang juga pelanggannya.
Menerusi video terbabit, selain berkata-kata kesat menyumpah seranah kumpulan wanita itu, peniaga berkenaan juga sempat mencampak sejumlah wang sebagai tanda protes terhadap mereka.
Tindakan biadab peniaga wanita itu mencetus api kemarahan pengguna media sosial yang beranggapan ia sangat tidak wajar bagi seorang yang berniaga. Apabila diselidiki, rupanya gerai berkenaan memang ‘terkenal’ dengan layanan buruk terhadap pelanggan.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan buat peniaga berkenaan buat masa ini. Meninjau sosial media setakat ini, semakin ramai yang tampil membuat luahan berhubung kejadian sama yang dialami di kedai itu.
Berniaga perlu sabar
Pada pendapat penulis sendiri, peniaga seharusnya lebih bersabar serta bermanis muka dalam melayan karenah pelanggan supaya hal tidak diingini dapat dielakkan di masa hadapan. Tambahan pula, tiada ruginya sekiranya kita saling berbudi bahasa sesama manusia.
Peniaga juga sepatutnya lebih bersifat terbuka apabila pelanggan menegur mengenai layanan serta servis yang disediakan untuk ditambah baik kerana ia jelas menunjukkan keprihatinan pelanggan terhadap peniaga itu sendiri.
Mengulas lanjut perkara tular ini, Pencetus Ummah (PU) Syed atau nama sebenarnya nama sebenarnya Syed Mohd. Bakri Syed Ishak berkata, tidak mudah untuk menjadi peniaga yang berakhlak dan mempunyai tatasusila yang tinggi.
Merujuk hadis daripada Abu Sa’id bahawa Baginda bersabda yang bermaksud, “Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada.” (Riwayat al-Tirmizi), beliau berkata, hadis tersebut mengingatkan peniaga bahawa kerjaya peniaga mempunyai kedudukan mulia sehingga layak duduk bersama dengan nabi.
“Syarat menjadi peniaga bukan senang yang mana kita sebenarnya perlu sentiasa menjaga tatasusila. Perkara penting bagi seorang peniaga adalah servis dan layanan terbaik yang membolehkan mereka ini diingati, diviralkan oleh para pelanggan sekaligus melariskan lagi perniagaan mereka.
“Perkara sebaliknya pula berlaku jika servis, layanan atau akhlak teruk yang ditonjolkan oleh peniaga kepada pelanggannya. Istilah customer always right ini tidak selalunya betul, namun sebagai peniaga seharusnya meletakkan pelanggan sebagai nombor satu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelas PU Syed lagi, sebagai peniaga Islam, mereka seharusnya menjaga tatasusila seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW yang sangat jujur dan baik dalam perniagaan. Justeru, contoh teladan yang mulia ditunjukkan Rasulullah menjadikan perniagaannya mendapat keuntungan berlipat ganda.
“Nasihat saya kepada peniaga, kita perlu muhasabah diri dan jaga kata-kata yang mengguris perasaan atau mengaibkan orang lain.
“Perlu baiki diri, akhlak serta dapatkan nasihat daripada sahabat-sahabat yang baik. Insya-Allah, mereka akan memberi nasihat serta komentar yang baik untuk mengubah kita.
“Orang yang bertaubat ibarat suci daripada dosa. Jika kita dapat ubah diri kita ke arah yang lebih baik, itu adalah perkara yang dimahukan dalam layanan kepada pelanggan,” ujarnya lagi.














