BENTONG – Keluarga waris mangsa tragedi pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu masih mengharapkan punca sebenar kepada kejadian yang mengorbankan 10 nyawa itu dapat dirungkai dengan jelas meskipun mengambil masa yang lama.
Abdul Qomar Ramli yang merupakan adik kepada Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramli, berkata, meskipun pendedahan laporan awal yang dikeluarkan semalam memberi sedikit kelegaan, namun mereka berharap untuk mengetahui punca sebenar kepada kejadian itu.
“Kita boleh bersabar dan tunggu tetapi kita mahu tahu punca sebenar kejadian, kalau boleh bagilah keluarga waris atau wakil dengar sendiri rakaman audio.
“Kami mahukan ketelusan dan waris wajar tahu kerana ia dapat memberi kelegaan selepas tahu punca sebenar kejadian yang meragut banyak nyawa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan menyatakan laporan akhir nahas pesawat berkenaan akan selesai selewat-lewatnya pada Ogos tahun hadapan.
Katanya, MOT telah menerima laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan laporan itu memenuhi standard Annex 13 kepada Konvesyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memerlukan penyediaan laporan awal dalam tempoh 30 hari daripada insiden tersebut.
Sementara itu, adik ipar kepada Allahyarham Idris iaitu Ahmad Fariz Ahmad Rusli, 57, turut berkongsi harapan sama bagi memberi kelegaan kepada isteri arwah, Adlina Aishah, 41.
“Keluarga akan memberikan kenyataan selepas punca sebenar kejadian diumumkan kelak,” ujarnya.














