SUNGAI PETANI – Penduduk Taman Kempas, di sini menggesa pihak berkuasa menutup segera sebuah kolam terbiar di belakang deretan premis perniagaan yang mengorbankan dua nyawa pada Isnin lalu bagi mengelak kejadian sama berulang.
Rata-rata penduduk di situ berharap tindakan itu dapat dilakukan segera kerana bimbangkan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak.
Mereka mendakwa, kolam hiasan berkenaan terbiar lebih dua tahun terbiar selain tidak berpagar.
Penduduk, Amir Othman, 50, berkata, kolam tersebut terletak agak jauh dari penempatan penduduk, namun sering menjadi kawasan tumpuan kanak-kanak dan remaja untuk bermain kerana ia mempunyai kawasan lapang berbumbung.
“Dahulunya kawasan ini dijadikan premis perniagaan serta pusat karaoke yang beroperasi dari petang hingga ke malam tetapi disebabkan kurang mendapat sambutan, ia telah ditutup lebih dua tahun lalu.
“Kolam itu dibina oleh pemilik premis perniagaan tersebut untuk mengindahkan kawasan persekitarannya tetapi selepas ditutup ia jadi terbiar,” katanya di sini semalam.

Bagi Alif Ikmal Kintan, 26, yang merupakan jurukimpal di sebuah kedai besi di Taman Kempas berkata, dia sering melarang kanak-kanak bermain di kawasan itu kerana bimbang terjatuh kedalam kolam tersebut.
“Kolam terbiar sedalam hampir satu meter itu didapati licin dan dipenuhi dengan lumut. Ia sepatutnya ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tak diingini,” ujarnya.
Berita berkaitan: Budak lemas: ‘9 tahun kami tunggu zuriat’
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Salmah pula berkata, kolam itu sepatutnya dipagar atau air di dalamnya dikeringkan sebelum ditinggalkan kerana pelbagai perkara buruk boleh berlaku jika dibiarkan begitu saja.
Dalam kejadian Isnin lalu, seorang datuk dan cucunya ditemui lemas oleh seorang pekerja sebuah restoran berdekatan pada pukul 7.20 malam.
Mayat Azmi Abdullah, 78, dan cucunya Muhammad Ziyaf Mikail Muhammad Yuzarith, setahun tujuh bulan ditemui terapung di dalam kolam itu sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak polis.














