fbpx

KKR tidak akan hadkan permohonan kontraktor baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (kanan) beramah mesra bersama Penggiat Industri Pembinaan selepas sesi Dialog Belanjawan 2024 KKR Bersama Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks KKR di sini, hari ini. GAMBAR oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan mengehadkan pengeluaran lesen kontraktor baharu walaupun wujud dakwaan berlakunya lambakan kontraktor G1 hingga G7 di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KKR tidak akan menutup pendaftaran baharu kerana ingin memberi peluang sama rata kepada mereka yang berminat dalam industri pembinaan.

“Bagaimanapun, KKR akan mencari jalan bagi mengatasi masalah lambakan kontraktor berbanding tawaran kerja yang agak terhad.

“Antara kaedah yang boleh diambil adalah dengan membantu kontraktor lama naik ke kelas G2 dan seterusnya supaya ada ruang untuk kontraktor G1 mendapatkan kerja.

“Sekiranya, (pengeluaran lesen baharu) perlu ditututup, harus ada kajian yang sokong. KKR tidak mahu mengambil tindakan drastik kerana enggan menutup peluang kepada kontraktor baharu yang ingin menceburi bidang ini,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sidang Akhbar Sesi Dialog Belanjawan 2024 KKR Bersama Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks KKR, hari ini.

Tambah Alexander, pihak KKR bakal memohon daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk menambah peruntukan sedia ada bagi memperbanyakkan lagi projek-projek khususnya untuk kontraktor kelas G1.

“Kami ambil maklum ramai yang terkesan dengan Covid-19 sehingga kehilangan kerja. Tambah lagi, disebabkan lambakan kontraktror kelas G1, mereka perlukan lebih banyak projek sebagai sumber pendapatan.

“Kami di KKR sangat prihatin mengenai isu ini dan bakal meminta peruntukan lebih banyak pada Belanjawan 2024,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah peruntukan yang bakal dimohon pada Belanjawan 2024 nanti.

Seramai lebih kurang 130 peserta mewakili pemegang taruh dan agensi berkaitan telah menyertai Sesi Dialog Belanjawan 2024 KKR Bersama Penggiat Industri Pembinaan, hari ini.

Tambah Alexander, sesi dialog tersebut diadakan bertujuan untuk mendengar pendapat serta cadangan daripada pihak industri supaya ia boleh dijadikan imput bagi Belanjawan 2024 yang bakal dibentang Oktober nanti.

Ia merupakan satu usaha KKR untuk menjalin kerjasama strategik dengan penggiat industri pembinaan serta kerajaan bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang isu yang dibangkitkan.

“Antara cadangan baharu yang diterima oleh KKR dalam perbincangan hari ini adalah mengenai bantuan daripada kerajaan, terutamanya kepada syarikat-syarikat pembinaan yang masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Selain itu, kami juga terima cadangan daripada kontraktor belia supaya diberi lebih banyak peluang untuk melibatkan diri dalam projek-projek akan datang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI