fbpx
Sebahagian pengguna beratur panjang untuk membeli telur ayam di premis pemborong di Kuala Terengganu semalam.

Ayam perlu masa bertelur punca bekalan meruncing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Pengguna di Terengganu kini berhadapan dengan kekurangan bekalan telur ayam di pasaran sejak bulan lalu.

Masalah tersebut dikatakan telah berlarutan di negeri ini sejak sebulan lalu, namun semakin meruncing sejak awal minggu ini.

Salah seorang pemborong, Nur Syazanil Adha mendakwa, bekalan telur ayam diterimanya daripada syarikat pembekal te­lah berkurangan lebih 50 peratus sejak hampir sebulan lalu.

“Biasanya saya menerima 5,000 papan telur ayam pelbagai gred bagi setiap kali penghantaran, namun sejak akhir-akhir ini cuma 2,300 papan sahaja yang sampai.

“Hari ini (semalam) saya mendapat banyak sedikit iaitu 3,700 papan, namun semuanya habis licin dalam tempoh empat jam sahaja sebaik diterima pada pukul 7.30 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Nur Syazanil berkata, bekalan telur ayam dijangka akan terus meruncing pada minggu hadapan memandangkan cuti umum, Hari Malaysia pada hujung ming­gu ini.

Dakwa beliau, penurunan be­kalan ayam telur itu dikatakan bermula dari peringkat pe­ngeluar lagi.

“Saya difahamkan gangguan bekalan ini disebabkan generasi ayam penelur baharu dimasukkan ke dalam reban.

“Haiwan ternakan baharu itu dikatakan memerlukan masa untuk matang dan mula bertelur sehingga menyebabkan gangguan bekalan berlaku,” dakwanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nur Hashimah Yassin, 56, mengakui sukar mencari telur ayam sejak akhir-akhir ini hingga terpaksa berebut dengan pengguna lain.

“Saya rungsing untuk mencari telur ayam bagi menyediakan bunga telur sebagai persiapan kenduri kahwin anak pada hujung minggu ini.

“Saya tidak dapat membeli dalam kuantiti besar sebaliknya terpaksa membeli sedikit demi sedikit di beberapa kedai dan pusat pemborong telur ayam di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN