HAMPIR 30 tahun dalam industri, Haiza masih tercari-cari formula yang boleh menyaingi fenomena Dag Dig Dug agar tidak hanya dikenali sebagai ‘one hit wonder’ atau dipuja dengan sebuah karya.
KEHADIRAN wanita bersuara serak-serak basah itu menghiasi kanvas seni hiburan sebagai penyanyi bukan baru semalam.
Seawal usia 15 tahun, penyanyi kelahiran Pontian, Johor itu sudah bergelar artis rakaman dengan album sulungnya berjudul Dag Dig Dug… Mana Tahan pada 1995.
Sepanjang berkarier, pemilik nama pentas Haiza itu sudah pun mengeluarkan enam buah album, kali terakhir pada 2014 menerusi buah tangan berjudul Kerana.
Dikenali sebagai penyanyi aliran dangdut, pemilik lengkap Rohaizah Nordin itu sebenarnya pernah hampir putus asa kerana penat mencari formula melebarkan sayap.
Kata Haiza, walaupun memiliki enam buah album, namun khalayak hanya mengenalinya dengan sebuah lagu, iaitu Dag Dig Dug.
“Saya ada enam buah album yang dirakamkan sejak berusia 15 tahun. Tapi sehingga kini, orang hanya tahu satu lagu saya iaitu Dag Dig Dug.
“Itulah lagu ‘cari makan’ saya sampai sekarang,” ujarnya.

Saingi Dag Dig Dug
Pelbagai usaha dilakukan ibu kepada seorang cahaya mata itu untuk mencari jalan ‘memintas’ populariti Dag Dig Dug, termasuk hadir dengan genre berbeza selain dangdut.
Bagaimanapun, semuanya tidak mudah. Dalam kesukaran mencari karya setanding Dag Dig Dug, Haiza tetap bersyukur, sekurang-kurangnya masih ada lagunya yang diketahui pendengar.
“Susah sebenarnya untuk saya ‘memadam’ kehebatan lagu Dag Dig Dug. Tapi tidak mengapa. Walaupun saya hanya popular dengan satu lagu sahaja, sekurang-kurangnya ada.
“Kalau saya rasa nak berputus asa sekarang pun, rasa tidak berbaloi sebab saya sudah menyanyi sejak usia remaja.
“Lagi pun peminat sendiri mahukan saya menyanyi lagu Dag Dig Dug setiap kali membuat persembahan pentas,” katanya.
Biar hanya dikenali dengan julukan ‘one hit wonder’, bekas peserta program Gegar Vaganza musim pertama itu juga mahu dikenali sebagai penyanyi versatil selain daripada menyanyikan lagu-lagu berentak dangdut.

Versatil
Kata Haiza, memandangkan tidak ramai yang tahu lagunya selain daripada Dag Dig Dug, maka setiap kali membuat persembahan, dia pasti menyanyikan lagu-lagu milik penyanyi lain, sekali gus membuktikan dirinya sebagai penyanyi serba boleh.
“Lagu saya tidak ramai yang tahu. Jadi setiap kali membuat persembahan, saya akan nyanyikan lagu penyanyi lain. Secara tidak langsung, orang tahu saya boleh menyanyikan pelbagai genre,” jelasnya.
Sebagai penyanyi yang telah lama bertapak dalam industri, Haiza mengakui mempunyai keinginan untuk mengadakan konsert sendiri.
Namun, penyanyi berusia 43 tahun itu sedar diri dan ruang tentang siapa dirinya dalam industri.
Benar dia tidak pernah mengadakan konsert berskala ‘mega’, namun Haiza tetap bersyukur apabila sempat menganjurkan tiga kali persembahan ‘showcase’, sepanjang pembabitannya sebagai anak seni.
“Alhamdulillah, saya sudah tiga kali mengadakan ‘showcase’.
“Bukan saya tiada keinginan untuk adakan konsert besar, cuma kena sedar lagu saya tidak ramai yang tahu.
“Kalau mahu mengadakan konsert pun, mungkin gabungan antara saya dengan kawan-kawan lain,” jelasnya.

Kewangan
Tidak sekadar penyanyi, Haiza kini dilihat semakin selesa dengan gelaran sebagai penyampai radio. Mengakui bidang sebagai penyampai radio kini sebagai punca pendapatan utamanya sejak 2012, Haiza berkata dia perlu bijak untuk menguruskan sumber kewangannya, supaya tidak ‘sesak’ kemudian hari.
Ujarnya, meskipun mempunyai pekerjaan tetap dan bergaji bulan, dia tidak pernah berasa selesa, justeru sentiasa mencari peluang untuk menambah pendapatan.
“Penyampai radio adalah punca pendapatan utama, tetapi saya tidak pernah lupa bidang nyanyian dan akan sentiasa mencari peluang membuat persembahan selepas kerja hakiki selesai.
“Alhamdulillah rezeki sekarang tidak putus seperti sewaktu kita berdepan pandemik beberapa tahun lalu.
“Covid-19 sebenarnya membuka mata kita semua tentang pentingnya pengurusan kewangan yang baik. Saya bersyukur kerana berupaya konsisten dalam menabung.
“Sebaik sahaja terima pendapatan, saya akan lebih dahulu asingkan peruntukan untuk itu,” katanya.
Selain menabung, Haiza juga bersyukur kerana tidak tidak tergolong dalam kategori boros berbelanja.
Dia malah menjadikan pelaburan hartanah dan membeli kediaman sebagai jaminan untuk masa depan.
“Alhamdulillah saya bukan dalam kategori boros berbelanja. Cuma saya beli rumah untuk pelaburan sahaja,” katanya.














