fbpx

DNAA: Amirudin cadang siaran langsung prosiding JKPK Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari mencadangkan prosiding Parlimen berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan disiarkan secara langsung.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi itu juga boleh diadakan secara terbuka menerusi pendengaran awam.

Menurut beliau, prosiding berkenaan disiarkan secara langsung akan membolehkan semua pihak mendengar serta memahami isu berkenaan yang kini menjadi polemik dalam kalangan rakyat.

“Proses JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi wajar diadakan secara ‘live telecast’ atau pendengaran awam yang boleh didengar oleh rakyat,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahkamah sebelum ini memutuskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dilepas tanpa dibebaskan, atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Keputusan itu menerima kritikan hebat pembangkang termasuk tindakan drastik Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan partinya tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta kerajaan menyegerakan usaha mengasingkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Ujar beliau, tindakan berkenaan akan dapat mengelakkan polemik seperti yang berlaku dalam kes membabitkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Proses ini harus kita lakukan dan saya menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan dengan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI