fbpx

Polis Sabah tumpaskan sindiket dadah antarabangsa, rampas syabu bernilai RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis Sabah merampas sebanyak 50.25 kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3 juta membabitkan sindiket antarabangsa dalam penahanan di tepi jalan tempat perhentian bas pintu masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 7 September lalu. Foto oleh IVAN AMIRUL/KOSMO!

KOTA KINABALU – Sebanyak 50.25 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3 juta dirampas polis Sabah membabitkan sindiket antarabangsa dalam penahanan di tepi jalan tempat perhentian bas pintu masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 7 September lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, polis menahan lelaki warga tempatan termasuk dua bersaudara berusia 27 hingga 38 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah telah menahan sebuah kereta jenis Mazda berwarna putih di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan ke atas kereta yang tiga suspek itu ekoran disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Sewaktu pemeriksaan hendak dijalankan, salah seorang suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek, kita menemui dan merampas 50 bungkusan berisi dadah disyaki jenis methamphetamine atau syabu.

“Berat kasar keseluruhan dianggarkan 50.25 kg bernilai kira-kira RM3 juta yang disembunyikan di bahagian belakang kerusi penumpang belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Mengulas lanjut, Jauteh memaklumkan siasatan awal mendapati dadah yang dirampas dibawa masuk menggunakan jalan darat dari Sarawak.

Menurutnya, semua dadah terbabit dipercayai bakal digunakan untuk pasaran Sabah dan negara jiran.

“Ketiga-tiga suspek ini berasal dari Sarawak dan baru tiba dari negeri itu serta dalam perjalanan ke Tawau. Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dari Sarawak sampai ke Tawau untuk pasaran di luar negara.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati salah seorang mereka positif dadah jenis amphetamine selain mempunyai rekod lampau iaitu disiasat mengikut 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pasukan serbuan turut merampas pelbagai matawang berjumlah RM1,092 antaranya Dollar Brunei, Baht Thailand, Yuan China, Dollar America dan Ringgit Malaysia serta telefon bimbit dan barang kemas bernilai RM15,475,” katanya.

Ujarnya, sitaan terhadap pemilikan lain masih dalam siasatan meliputi simpanan bank dan harta alih/tidak alih yang lain manakala kesemua suspek kini direman sehingga 14 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ARB 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI