fbpx

Penganjur, peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia berdepan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan membuat pemeriksaan Panji-Panji Pasukan Gerakan Udara dan Kawalan Kehormatan di Sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang akan diadakan di depan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berhubung himpunan itu seperti yang termaktub di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya tidak pasti (penganjur) sudah buat permohonan atau tidak, tetapi hari ini adalah hari terakhir untuk mereka buat permohonan iaitu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu berlangsung.

“(Jika tiada permohonan), kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan mana-mana pihak perlulah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Menurut beliau, selain memaklumkan kepada pihak polis lima hari sebelum majlis berlangsung, penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Dalam konteks ini, saya difahamkan perhimpunan itu akan diadakan di kawasan Sogo, jadi mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Selain itu, mestilah tiada bantahan daripada masyarakat sekitar seperti pemilik-pemilik kedai atau Sogo sendiri yang akan buat bantahan dalam tempoh 48 jam. Itu syarat yang perlu dipenuhi oleh mana-pihak yang ingin membuat perhimpunan.

“Saya harap mereka buat ikut prosedur, kalau tidak, tindakan akan diambil,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI