fbpx

Padah tunggang motosikal teman lelaki tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman meneliti motosikal yang disita dalam Ops Khas Motosikal di R&R Bagan Ajam, pagi ini. - Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Tindakan seorang remaja perempuan menunggang motosikal kekasihnya tanpa lesen mengundang padah apabila ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini pagi ini.

Dalam Ops Khas Motosikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bermula pukul 1 pagi itu, remaja berusia 19 tahun itu turut dikenakan empat notis membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan, insurans selain ubah suai ekstrem pada motosikal.

Lebih malang lagi, motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang tanpa pengetahuan kekasihnya itu turut disita.

Katanya, dia yang bekerja sebagai jurujual menunggang motosikal bersama rakannya dari Sungai Petani, Kedah ke Butterworth untuk makan di kawasan terbabit.

“Teman lelaki saya menghadiri acara permotoran di Terengganu, jadi saya dan rakan ambil kesempatan ke sini untuk makan-makan, namun lain pula jadinya,” katanya.

Dalam operasi sama, motosikal yang ditunggangi dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 15 dan 16 tahun turut disita kerana tidak memiliki lesen kenderaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, secara keseluruhannya sebanyak 16 motosikal disita manakala 450 notis keluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kita harap orang ramai faham bahawa tindakan yang diambil ini adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan keselamatan jalan raya khususnya buat penunggang motosikal.

“Kita galakkan aktiviti riadah atau konvoi, tetapi ia harus dijalankan mengikut peraturan ditetapkan.

“Sedikit kesilapan yang dibuat bukan sahaja akan merisikokan keselamatan mereka, malah turut membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI