fbpx

Kenderaan hidrogen pesaing EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEIRING perkembangan teknologi semasa, penggunaan kenderaan elektrik (EV) semakin menjadi pilihan bagi sesetengah masyarakat di dunia termasuk di Malaysia.

Kereta yang digerakkan menggunakan motor dengan dikuasakan oleh tenaga elektrik itu dikatakan mesra alam. EV juga mampu menjimatkan penggunaan kos bahan api yang semakin meningkat saban masa.

Malah, pengguna EV dapat menjimatkan wang dari aspek penyelenggaraan berkala seperti menukar minyak enjin, palam pencucuh dan penapis minyak hitam.

Hakikatnya, harga sebuah EV jauh lebih mahal berbanding kenderaan konvensional yang menggunakan petrol dan diesel.

Jadi, tidak hairanlah hanya golongan berada sahaja mampu memiliki EV ketika ini. Lagi pula, EV hanya sesuai digunakan di bandar-bandar besar ketika ini.

Menariknya, ada yang menggunakan EV semata-mata untuk ‘show off’ kekayaan mereka kepada masyarakat kerana harga kenderaan itu terutamanya berjenama Tesla diketahui sangat mahal.

Secara realitinya, penggunaan EV di negara ini masih tidak sesuai kerana terdapat lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Antara kekurangan yang paling ketara adalah tempat pengecasan EV masih tidak menyeluruh dan terhad di bandar-bandar besar.

Tambahan pula, harga pengecasan EV masih tidak diselaras seperti petrol dan diesel. Satu lagi kelemahan EV adalah tempoh menunggu untuk pengecasan agak lama meskipun menggunakan pengecas pantas.

Selain itu, kos menukar baterinya dikatakan mencecah puluhan ribu ringgit jika berlaku kerosakan. Untuk makluman, bateri EV mempunyai tempoh masa penggunaan sekitar lapan hingga 10 tahun.

Seperkara lagi, tidak banyak mekanik di negara ini mahir dengan EV, sekali gus menyukarkan proses baik pulih sekiranya berlaku kerosakan terutamanya di luar bandar.

Pada pendapat penulis, sudah tiba masanya syarikat-syarikat pengeluar kenderaan mengeluarkan EV mampu milik bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kenderaan tersebut.

Ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan pengecasan dan khidmat baik pulih, sekali gus mendorong pemain industri tenaga serta mekanikal untuk melabur dalam segmen berkenaan.

Penulis juga merasakan EV bakal bersaing dengan kenderaan yang digerakkan dengan tenaga hidrogen pada masa depan. Ini kerana, Amerika Syarikat dan Eropah telah mula menggunakan kenderaan tersebut.

Meskipun kenderaan hidrogen masih banyak kekurangan berbanding EV, namun ia lebih praktikal pada masa depan kerana boleh digerakkan dengan bahan berasaskan air. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI