PASUKAN Harimau Malaya berharap dapat terus mempamerkan aksi bertenaga dalam usaha mengejutkan skuad ranking ke-80 dunia, China pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu hari ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberi bayangan ‘formula’ baharu akan digunakan pada perlawanan itu nanti selepas berjaya mencipta kejutan mengikat Syria 2-2 pada aksi persahabatan, Rabu lepas.
Kata Pan-gon, skuad Dragons kendalian Aleksandar Jankovic adalah ujian terbaik untuk menguji keupayaan anak-anak buahnya sebelum menentang pasukan lebih berkualiti di pentas antarabangsa selepas ini.
“Saya sangat gembira dan kami tidak sabar untuk mengharungi perlawanan berikutnya (menentang China).
“Buat masa ini, kami akan membuat perubahan lagi dari aspek taktikal kerana kita perlukan ujian memandangkan lawan yang kita hadapi nanti berada di ranking ke-80 dunia.
“Jadi, kami ingin tahu pasukan berada pada tahap mana ketika ini dan saya mahu pasukan kekalkan mentaliti menyerang sepanjang perlawanan serta kekal agresif.
“Apa yang penting pemain terus berjuang dan berusaha untuk mencari kemenangan atau keputusan positif buat Malaysia,” kata pengendali import dari Korea Selatan itu.
Skuad negara kini dalam fasa persiapan terakhir sebelum mengharungi saingan penting seperti kelayakan Piala Dunia 2026 pada November depan dan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari nanti.
Kali terakhir Malaysia bertemu dengan China untuk aksi persahabatan adalah pada 2009 yang menyaksikan pasukan berjaya melakar keputusan 0-0 dan satu lagi saingan pada 2013 dengan kekalahan 0-2.
Skuad China ketika ini turut diwakili oleh beberapa pemain berdarah warisan seperti bekas pemain Arsenal, Nico Yennaris dan bekas tonggak Everton, Tyias Browning.
Selepas perlawanan persahabatan menentang China, skuad negara akan mengharungi saingan Pestabola Merdeka pada 13 hingga 17 Oktober melibatkan pasukan Tajikistan, India dan Palestin














