fbpx

Mahkamah: Tempoh 2 bulan untuk status representasi bekas Menteri Besar Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi tempoh dua bulan agar pihak-pihak memaklumkan perkembangan representasi bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menghadapi lima pertuduhan masing-masing bagi kes tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.

Hakim Azura Alwi menetapkan 10 November ini bagi tarikh sebutan kes supaya mahkamah dimaklumkan berhubung status representasi tersebut.

“Jika pada tarikh itu, tiada perkembangan lanjut berhubung representasi, maka pihak-pihak harus bersedia untuk memulakan perbicaraaan kes,” kata Azura.

Terdahulu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan memohon lanjutan masa untuk membolehkan pihak pembelaan melengkapkan representasi agar Jabatan Peguam Negara (AGC) mengkaji semula pertuduhan terhadap anak guamnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai memaklumkan kepada mahkamah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu belum menghantar surat representasi untuk penelitian AGC.

Pihak pendakwaan turut tidak membantah lanjutan masa yang dipohon oleh peguam tersebut.

Ketika kes disebut pada 9 Jun lalu, Burhanudeen mengesahkan pihak pembelaan sudah menerima dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC) selain memohon masa untuk meneliti dokumen tersebut sebelum menyediakan representasi.

Perbicaraan terhadap Azlan dijadual didengar secara bersama bagi lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta.

Azura membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar 10 pertuduhan itu dibicara bersama mengikut Seksyen 165 CPC dan permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

Pihak pendakwaan juga sudah menyerahkan dokumen di bawah Seksyen 51A CPC kepada pihak pembelaan untuk digunakan pada perbicaraan kelak.

Azlan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu sementara lima pertuduhan AMLA di ibu negara.

Pada 12 April lalu, Azlan didakwa di sini atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta, sembilan tahun lalu.

Azlan didakwa menerima wang di antara RM196,651 dan RM224,404.40 melalui empat keping cek dan secara tunai di beberapa buah bank di sini dan di Putrajaya serta di sebuah hotel di antara 2014 dan 2017.

Pada 10 April lalu, tertuduh didakwa di Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir Perlis.

Azlan selaku Menteri Besar Perlis didakwa mengemukakan tuntutan palsu membabitkan butiran matan dengan niat bagi mengelirukan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan ke London. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI