KETIKA lelaki itu debut dalam dunia seni suara secara solo dengan menyertai pertandingan realiti One In A Million (OIAM) 15 tahun lalu, penulis masih di sekolah menengah, berusia 16 tahun dan amat mengagumi prestasinya dalam pertandingan terbabit.
Tersemat juga dalam jiwa mengharapkan penyanyi bersuara lantang melangkah keluar daripada OIAM dengan gelaran juara, namun itu tidak berlaku.
Kendatipun, karier seni figura dengan nama pentas Faizal Tahir itu bergulir secantik-cantiknya walaupun dalam perjalanan tersebut, dia berdepan bermacam-macam sepak terajang yang mendewasakan.
Minggu lalu, pemilik nama lengkap Ahmad Faizal Muhammad Tahir akhirnya melangsaikan ‘hutangnya’ buat peminat dengan kemenjadian konsert solo sulungnya, Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur.
Sebagai antara penjunjung jenama muzik Faizal Tahir, menghadiri konsert penyanyi yang pernah diberi julukan ‘Superman Malaysia’ adalah cita-cita yang akhirnya menjadi nyata.
Apa pendapat penulis tentang konsert? Bersyukur. Kerana Faizal masih ada ‘benda’ elemen tersebut.

– IHSAN TAUFIQ NAZRI
Faizal yang sejak kebelakangan ini banyak melahirkan karya bersifat ‘ringan’ tidak seperti awal kemunculan, ternyata mampu membuat audiens merintih dengan dendangan baladanya.
Jiwa rockstarnya, permainan emosi luar biasa dan semestinya, bakat bercakap di harapan ramai terzahir sempurna.
Faizal, 45, ketika ditemui HibGlam usai berlangsungnya konsert memaklumkan, dia masih ada ‘kedahagaan’ seperti dahulu, namun disebabkan faktor usia dan status, tidak mungkin akan berbalik kepada apa atau siapa dirinya ketika muda.
“Saya ada anak ramai. Saya tak nak mereka lihat saya memberi contoh yang bukan-bukan dengan merakamkan lagu-lagu seperti dahulu.
“Bukan saya tak boleh tapi memikirkan status dan tanggungjawab sekarang sebagai seorang suami dan bapa kepada tujuh orang anak,” katanya.

Konsert percuma
Melanjutkan bicara, selepas terlaksananya Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur, Faizal yang pernah menganggotai kumpulan nasyid, Mirwana menginginkan sesuatu yang ‘lebih’.
Lebih bermaksud, jika diberikan kudrat dan usia panjang, dia mahu terus mengadakan konsert pada masa depan.
Biarpun sempat hangat dibincangkan soal harga tiket konsert didakwa sedikit mahal, Faizal sebenarnya mengimpikan sebuah konsert percuma khas buat peminat.
“Saya ada impian sebelum bersara.
“Saya nak beri satu konsert percuma. Saya tahu tidak mudah tapi kalau niat baik insya-Allah semua akan dipermudahkan.
“Tapi takut juga kalau jalan jem atau ada orang merusuh. Banyak benda perlu dipertimbangkan.

“Jadi atau tidak impian itu, saya serahkan kepada takdir tapi niat itu sudah ada,” jelasnya yang tidak lekang dengan senyuman saat ditemui media.
Semua itu menandakan konsert pada malam tersebut memberikan kepuasan dan menderaskan adrenalin Faizal sepanjang bergelar penghibur.
Akui Faizal, adakalanya dia keliru dengan kemahuannya sebagai anak seni. Kadang-kadang, dia ingin menoktahkan naratif sebagai penyanyi, namun pada masa sama, gejolak semangat untuk terus berbakti kepada industri kian menebal.
“Secara jujur, saya memang mempunyai konflik dalaman. Sekejap rasa nak bersara, kemudian tidak.
“Sebenarnya, perasaan untuk bersara itu terbit kerana keluarga. Ditambah pula ketika itu saya kehilangan sahabat terdekat.
“Namun isteri saya menjadi antara individu yang kuat memberikan saya sokongan. Dia kata, selagi nyanyian boleh beri kebaikan kepada orang lain, saya tidak patut halang,” jelasnya.

Pernah hanyut
Pernah ‘digam’ atau diboikot beberapa kali ketika kariernya memuncak, pelantun lagu Mahakarya Cinta itu sempat bernostalgik, sekali gus menitipkan pesan buat semua.
Apa yang berlaku mendewasakan dirinya sebagai seorang manusia dan penghibur.
“Memang awal-awal bergelar anak seni adakalanya saya hanyut. Waktu itu saya muda dan ramai peminat. Ketika itu saya macamlah bagus sangat. Kononnya yang paling ‘rockstar’.
“Bila semakin dewasa, saya faham yang kita perlu ada rasa rendah diri. Saya masih di sini hari ini pun kerana sokongan dan kritikan yang diterima.
“Bila lihat semua kerjaya saya. Betul, saya pernah buat kesilapan, pernah kena ‘gam’ buat benda yang salah. Saya belajar daripada semua pengalaman dan bersyukur kerana saya diberikan sistem sokongan yang kuat,” getusnya.
Ditebak lebih mendalam tentang trend muziknya yang kini seperti tiada magis seperti awal kemunculan, Faizal menarik nafas panjang namun positif.
“Semua anak seni akan melalui fasa ini. Sekarang saya banyak hasilkan lagu dengan nyanyian yang lebih santai. Waktu Ragaman keluar, ramai yang mempertikaikan muzik saya.
“Saya tak rasa diri saya sesuai menyanyikan lagu berunsur cinta, jiwang. Saya pun tak rasa isteri saya suka, nanti dia fikir saya buat lagu ini untuk siapa pula,” ulasnya menutup perbualan.















