fbpx
SEBAHAGIAN barang berharga yang ditemui oleh Pelley.

Merman Mike penyelam cari barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMUK hati wanita itu ketika dia melihat cincin perkahwinan berharga AS$9,500 (RM44,151.25) tidak lagi berada di jari manisnya sebaik sahaja selesai berenang.

Melihat ke arah Tasik Bass, California, Amerika Syarikat di hadapannya, wanita bernama Jennie Boles itu akur dengan kehilangan cincin kesayangannya.

Manakan tidak, kedalaman maksimum tasik tersebut adalah 30 meter (m), manakala purata kedalaman tasik secara keseluruhan adalah 18 m.

Menurut Boles, cincinnya mungkin terlucut dari jari ketika dia cuba menghalang anaknya berenang jauh dari kawasan jeti.

“Saya menghabiskan masa semalaman menangis mengenangkan nasib selepas kehilangan cincin paling bernilai buat kami.

“Cincin ini memiliki nilai sentimental yang besar. Saya sudah hampir reda dengan kehilangan itu,” katanya yang telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Namun, salah seorang kenalan mencadangkannya menghubungi seorang lelaki bernama Michael Pelley atau lebih dikenali sebagai Merman Mike.

Pelley merupakan seorang penyelam yang terkenal dengan usaha mencari semula barang-barang yang tenggelam di dasar sungai serta tasik.

Pelley dan tunangnya sanggup memandu selama tiga jam setengah dari kediaman mereka di Sacramento untuk membantu Boles mencari cincin.

Pelley menyelam ke dalam tasik berhampiran jeti dengan berbekalkan lampu dan pengesan logam.

Keadaan air tasik yang berkeladak menyukarkan pandangan Pelley untuk mengesan barangan sekecil cincin.

Bagi memastikan dirinya boleh kembali ke daratan dengan selamat, dia terpaksa melakukan hentian keselamatan selama 3 minit pada kedalaman 4 m.

Selepas sejam setengah menyelam, Pelley mengikuti garisan sauh ke kedalaman 14 m sebelum akhirnya menemui cincin itu.

Kemudian, Pelley berenang kembali ke permukaan tasik untuk menyampaikan berita baik itu kepada Boles.

Boles yang sedang menunggu di jeti tidak mampu menahan sebak, sebelum menitiskan air mata kegembiraan.

“Apabila pengesan logam saya memberikan isyarat bahawa ia telah menjumpai satu objek, saya sangka ia penutup botol.

“Tapi semakin saya menghampiri objek berkenaan, kilauan pada objek itu semakin kuat.

“Rupanya-rupanya, ia adalah cincin perkahwinan berlian yang kami cari,” katanya.

Pelley menemui boneka CPR bersaiz kanak-kanak di dasar tasik.

Untuk rekod, selaman itu merupakan yang paling dalam sepanjang misi pencarian ‘harta karun’ Merman Mike setakat ini.

Boles merupakan salah seorang daripada insan yang meminta bantuan Pelley untuk mencari semula barangan yang hilang di dasar sungai atau tasik.

Sama seperti ‘pelanggannya’ yang lain, Pelley tidak mengambil sebarang bayaran kerana dia menganggap tugas itu sebagai hobi.

Dia juga tidak mahu wang menjadi penghalang kepada seseorang untuk mendapatkan bantuannya.

Pelley yang bekerja di syarikat pembinaan bapanya itu juga memiliki akaun YouTube untuk berkongsi detik-detik berharga sepanjang ekspedisinya.

Setakat ini, lelaki dari Sacramento, California itu memiliki lebih 8,000 pengikut.

Kongsi Pelley, sifat ingin tahu dan sukakan cabaran telah membuatkan dia mahu membantu orang ramai mendapatkan semula barangan mereka yang hilang.

“Saya anggap diri saya seorang penyelam. Kemudian, baru seorang pemburu ‘harta karun’.

“Pada mulanya, saya cuma mahu memulangkan barangan yang saya jumpa setiap kali menyelam ke dasar tasik atau sungai.

“Tetapi akhirnya, ia jadi satu perkhidmatan, di mana orang ramai minta tolong daripada saya secara spesifik,” tuturnya yang mampu membantu di radius berdekatan kerana faktor kos.

Selain objek bernilai sentimental, Pelley pernah menjumpai barangan bersejarah dan misteri di dasar tasik atau sungai.

Kesemua item itu memiliki nilai, tetapi tidak dapat menemui pemiliknya.

Jadi, barangan tersebut dipamerkan di Bilik Harta Merman Mike.

Bilik tersebut saling tak tumpah seperti kedai antik yang diisi dengan barangan termasuk roda kayu daripada Ford Model T 1908, gembok besi pada tahun 1916 dan boneka bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) bersaiz kanak-kanak.

Selain itu, terdapat berpuluh cermin mata hitam, telefon bimbit dan beg tangan.

Semua barang berkenaan disimpan dengan baik dan sesiapa yang mahu membuat tuntutan sangat digalakkan.

Mengimbau kembali barangan paling aneh yang pernah ditemui, Pelley berkongsi tentang patung voodoo yang ditemuinya satu ketika dahulu. Anak patung voodoo itu dijumpai bersama balang lilin tertutup yang diisi dengan kaki ayam dan lada.

Menurut Pelley, tunangnya, Natasha meminta agar patung tersebut disimpan di dalam garaj berbanding bilik simpanan bagi mengelak perkara buruk berlaku.

“Selepas saya bawa patung itu naik ke darat. Saya mengalami kemalangan dan terpaksa melakukan pembedahan bahu.

“Saya tidak boleh menyelam untuk beberapa bulan. Itu bagaikan satu petanda,” tuturnya.

Selain patung voodoo, Pelley pernah menemui pistol di beberapa tempat dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Sudah menjadi rutin, setiap kali selesai mencari barangan buat ‘pelanggannya’, Pelley akan kembali ke dasar untuk mengutip sampah-sampah yang ditemui.

Lelaki itu berharap usahanya dapat memberi contoh terbaik dan menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang kebersihan tasik dan sungai.

“Saya benar-benar percaya, anda tidak sepatutnya ke dasar untuk mencari ‘harta karun’ sahaja, anda juga harus kutip sampah,” tegasnya.

Mengulas mengenai masa depan, Pelley berharap dia akan terus mendapat sokongan supaya dia boleh merantau untuk membantu lebih ramai orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN