fbpx

Atlet dinasihat kurangkan penggunaan media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt menggesa barisan atlet supaya mengurangkan masa melayari laman media sosial bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap aksi di dalam gelanggang.

KUALA LUMPUR – Bagi memastikan barisan atlet dapat menampilkan aksi terbaik pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China nanti, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt memberikan amaran awal kepada atlet-atlet.

Beliau menggesa kesemua atlet yang akan menggalas misi negara pada temasya empat tahun sekali itu supaya mengurangkan penggunaan media sosial dan memberikan sepenuh tumpuan terhadap aksi di dalam gelanggang.

Kim Fatt menyifatkan, atlet-atlet yang terpilih ke Sukan Asia nanti akan pergi dengan misi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, bukannya sekadar pergi untuk berseronok.

“Sudah sampai masanya untuk saya memberikan amaran kepada barisan atlet. Apabila sudah sampai waktu pertandingan, jangan tengok Instagram atau Facebook kerana dibimbangi memberi kesan kepada emosi jika tengok komen orang ramai.

“Atlet perlu sampaikan satu semangat bahawa mereka sudah benar-benar bersedia berjuang untuk negara. Kita ke sana bukan untuk melawat tetapi pergi dengan satu tujuan, iaitu pingat emas,” katanya kepada pemberita ketika melawat sesi latihan gimnastik artistik dan gimrama di Gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Dalam pada itu, Kim Fatt juga tidak mahu atlet-atlet menunjukkan sikap yang sekadar mahu mencuba setiap kali masuk ke dalam gelanggang kerana beliau mahu melihat semua atlet memberikan segala-galanya.

“Ini bukan sasaran, ini adalah satu kata-kata bagi membuatkan atlet-atlet kita lebih bersemangat. Jangan ke sana dan cakap ‘saya cuba dulu’ atau ‘tengok bagaimana’ kerana itu bukan masanya. Dalam tempoh dua minggu lagi, berikan segala-galanya,” ujarnya.

Pada edisi kali ini yang akan bermula pada 23 September hingga 8 Oktober depan, Malaysia menghantar kontinjen seramai 434 orang melibatkan 289 atlet serta 145 pegawai.

Untuk rekod, pada edisi 2018 yang berlangsung di Palembang, Jakarta, kontinjen Malaysia membawa pulang 7 pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI