fbpx

[VIDEO] Budak perempuan cedera dilanggar kereta mengundur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera apabila dilanggar sebuah kereta yang mengundur laju di hadapan sebuah kedai di Jalan Eco Grandeur, Puncak Alam di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu berlaku ketika mangsa berada di laluan kaki lima premis tersebut dengan insiden itu turut tular menerusi video berdurasi 59 saat di laman sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Ambia Nordin berkata, siasatan mendapati ketika kejadian lelaki berusia 30-an yang memandu Hyundai Elantra dalam perjalanan mengambil anaknya dari sebuah tadika.

“Setibanya di lokasi, pemandu itu yang mengundur untuk memasuki petak parkir dipercayai tertekan pedal minyak secara mendadak sehingga mengundur laju.

“Kereta itu kemudian melanggar mangsa yang juga pejalan kaki dan pintu depan premis kedai tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ambia, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera ringan dan calar di mukanya dan dilaporkan stabil serta telah dibenarkan keluar daripada hospital tersebut,” ujarnya.

Jelas beliau, tiada penahanan dilakukan terhadap pemandu tersebut selepas keterangan diambil pihaknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI