fbpx

Penyakit kelamin baharu menyerang Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai dinasihat melakuka ujian STI bagi mengelakkan mereka daripada menularkan penyakit GM kepada orang lain. – Getty Images

LONDON – Pakar-pakar kesihatan awam mengeluarkan amaran berhubung penularan wabak penyakit kelamin (STI) baharu di Britain, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Jangkitan penyakit Mycoplasma genitalium (MG) itu dilaporkan terus meningkat.

MG mengakibatkan simptom yang teruk dan menyakitkan, manakala pakar-pakar berkata, kuman penyakit itu kekal pendam di dalam badan selama bertahun-tahun.

Menurut beberapa pakar perubatan, lebih 500,000 penduduk Britain merupakan pembawa kuman penyakit kelamin dengan kebanyakan mereka tidak sedar telah dijangkiti.

Kumpulan dikenali sebagai Lloyds Pharmacy Online Doctor melakukan kaji selidik dalam kalangan 500 orang dewasa Bri­tain untuk melihat sejauh mana pengetahuan mereka tentang MG dan bila kali terakhir mereka membuat ujian STI.

Hasil kajian mendapati tidak sampai satu dalam lima responden pernah mendengar mengenai penyakit tersebut, manakala 90 peratus lagi tidak dapat menamakan sebarang simptom berkaitan penyakit MG.

Pengamal kesihatan daripada platform penjagaan kesihatan online tersebut, Dr. Neel Patel berkata, MG merupakan penyakit kelamin yang disebabkan oleh bakteria Mycoplasma genitalium yang menjangkiti saluran kencing dan alat sulit lelaki serta wanita.

“MG dianggap sebagai penya­kit kelamin baharu. Penyakit ini mula dikesan pada 1981, manakala ujian perubatan bagi mengenal pasti jangkitannya hanya tersedia dalam tahun 2017,” ujarnya.

Tambah Patel, MG boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius sekiranya dibiarkan tanpa mendapatkan rawatan.

Menurutnya, MG juga dikaitkan dengan penyakit radang pelvis (PID) yang boleh mengakibatkan kelahiran pramatang dan keguguran pada ibu hamil.

“Jika seseorang pesakit MG turut mempunyai penyakit kela­min lain seperti virus kurang imun (HIV), ia akan menyebabkan mereka lebih berisiko menularkan penyakit tersebut kepada orang lain,” jelas Patel.

Tambahnya, walaupun terdapat pesakit MG yang tidak me­nunjukkan sebarang simptom dan sembuh secara semula jadi, bakteria terbabit masih berada dalam keadaan pendam di dalam badan mereka sehingga bertahun-tahun.

“Justeru, adalah penting untuk melakukan ujian bagi mengelakkan anda menyebarkan penyakit ini kepada orang lain,” kata Patel.

Sebelum ini, wabak cacar monyet yang kebanyakannya menjangkiti lelaki homoseks, menular di seluruh dunia sehingga mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam pada Julai 2022.

Dari Januari 2022 hingga April lalu, lebih 87,000 kes cacar monyet dikesan di samping 140 kematian direkodkan di 111 negara atau wilayah, kata WHO.

Cacar monyet atau kini dikenali sebagai Mpox pada asalnya menjadi penyakit endemik di rantau Afrika Barat dan Tengah.

Namun, penularan terbaharu Mpox pada tahun lepas berlaku dalam kalangan biseksual dan lelaki yang gemar mengadakan hubungan seks sejenis. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI