TUMPAT – Segelintir keluarga terpaksa memilih untuk tinggal bersesak hingga mencapai tiga keturunan dalam satu rumah kerana kesempitan hidup serta tidak mempunyai wang membeli atau menyewa kediaman lain selepas berkahwin dan beranak pinak.
Di sesetengah tempat, ada kediaman yang didiami antara 10 hingga 12 orang daripada empat keluarga di dalam rumah usang yang sempit, uzur selain bilik tidak berdinding.
Situasi itu berlaku disebabkan ketua keluarga tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara keluarga atau menyewa rumah kerana kekangan kewangan.
Sebuah keluarga di Kampung Pantai Genting di sini contohnya mereka tiada pilihan selain terpaksa bersesak di dalam rumah berusia 30 tahun yang sempit, uzur, bumbung bocor dan bilik tidur tanpa dinding untuk berjimat.
Seorang warga emas dikenali sebagai Samad, 75, berkata, rumahnya mempunyai 12 orang terdiri daripada anak perempuan, cucu dan menantu.
Katanya, anak lelakinya menetap di rumah sewa selepas berumahtangga.
“Jadi di dalam rumah ini ada saya, tiga anak, enam cucu dan tiga menantu. Bilik memang tak cukup hingga serambi dijadikan tempat tidur.
“Ini berlaku kerana suami masing-masing tak mampu sewa rumah. Saya tak mampu lagi bekerja di kilang memproses ikan kering di kampung ini tambahan pula isteri sudah meninggal dunia Ramadan lalu,” katanya ketika ditemui.
Anak Samad, Tina, 30, berkata, dia menetap di rumah pusaka kerana tak mampu untuk menyewa kediaman.
“Rumah sewa di sini dalam RM200 hingga RM300 sebulan tetapi pendapatan saya dan suami yang bekerja di kilang proses ikan bilis hanya RM800. Suami turut kerja buruh kampung termasuk petik kelapa,” katanya yang mempunyai anak berusia dua, enam dan 11 tahun.
Ujar Tina, dua anaknya tidak bersekolah kerana tak mampu menyediakan wang belanja.
“Kami selalunya makan nasi, ikan bilis goreng dan telur sahaja,” katanya.
Anak tiri Samad, Fatimah, 39, berkata, walaupun tinggal serumah, mereka memasak secara berasingan bagi mengurangkan beban kos membeli barang dapur.
“Tetapi kami kerap bertukar lauk atau kongsi makanan jika ada lebih. Selain itu kami kongsi duit untuk bayar bil elektrik, gas dan utiliti lain,” katanya.
Di Kota Bharu, 10 individu daripada tiga keluarga hidup bersesak di dalam rumah kecil sejak 12 tahun lalu di Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, di sini atas alasan yang sama.
Nana, 32, berkata, dia bekerja di kilang keropok dengan gaji RM30 sehari, manakala suaminya hanya pemandu lori.
“Rumah ini sumbangan seseorang dan telah dibesarkan sedikit oleh tuan tanah. Dapur sempit digunakan untuk mandi, cuci pinggan dan cuci pakaian,” katanya yang mempunyai empat anak.
Menurut Nana, ruang tamu digunakan untuk makan dan tidur. Saya sanggup hidup begini kerana kos sara hidup tinggi di luar,” katanya.
Di Hulu Terengganu, 13 sekeluarga daripada tiga generasi berusia antara tiga hingga 68 tahun tinggal bersama di Kampung Durian Kassim, Ajil.
Ketua rumah dikenali sebagai Awang, 64, berkata, rumah papan itu hanya mempunyai tiga bilik hingga ada yang perlu tidur di ruang tamu.
“Enam daripada sembilan anak masih tinggal di sini. Tiga sudah berkahwin menetap bersama suami dan anak-anak mereka,” katanya. Menurut Awang, dia dan isterinya faham anak-anak tak mampu bina atau sewa rumah.
“Walaupun sempit tapi kami lega kerana susah senang dihadapi bersama,” katanya.














