fbpx

1MDB: Aset, harta bernilai RM93.2 juta milik Jasmine Loo disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Nilai keseluruhan sitaan aset dan hartanah hasil soal siasat bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan dianggarkan mencecah nilai RM93.2 juta.

Antara barang yang dirampas adalah dua potret lukisan Pablo Picasso, jam tangan mewah dan beberapa lot tanah di luar negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil soal siasat mendapati Jasmine Loo ditawarkan gaji sebanyak RM40,000 sebulan untuk jawatan Penasihat Undang-Undang 1MDB pada Mei 2011.

Katanya, setakat ini suspek mengesahkan pemilikan aset dan hartanah miliknya di Amerika Syarikat, Switzerland, dan Singapura diperoleh hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

“Siasatan menunjukkan Jasmine loo adalah pemilik kepada sebuah syarikat yang didaftarkan di Virgin Islands, Amerika Syarikat yang menjalankan perniagaan hartanah dan telah membuka akaun bank bersama Jho Low pada November 2012.

“Jasmine telah menerima lima transaksi daripada beberapa entiti dan syarikat berjumlah AS$ 16 juta yang mana digunakan untuk membeli satu lot hartanah di New York bernilai AS$ 4.6 juta diikuti satu lot di London bernilai AS$ 2.7 juta, pelaburan di Amerika Syarikat dan AS$ 5 juta yang dibekukan Deparment Of Justice (DOJ),” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho itu mengesahkan turut menerima wang daripada Jho Low antaranya beberapa jam tangan mewah.

Tambah Ayob Khan, pihaknya membuat beberapa penyitaan aset di sebuah kondominium di Bukit Damansara, di sini, yang dipercayai lokasi Jasmine Loo menyimpan aset diperoleh daripada dana 1MDB.

“Terdapat barangan berharga yang bernilai sekitar RM625,000 dan sitaan melibatkan dua utas jam tangan jenama Richard Mille dan Harry Winston, 13 buah beg tangan pelbagai jenama dan pelbagai dokumen.

“Terdapat beberapa hartanah dan akaun bank di Singapura dikesan terlibat dengan Jasmine Loo,” ujarnya.

Menurut Ayob, 23 Ogos lalu, Jasmine telah membuat Surat Akuan (SD) untuk mengembalikan aset tersebut sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura.

Sehubungan itu, beliau menegaskan harta di bawah nama Jasmine Loo akan dipulangkan kepada kerajaan secara berperingkat.

“Nilai keseluruhan harta dan tanah yang dirampas adalah bernilai RM93.2 Juta yang mana merupakan nilai pembelian pada tahun 2013, dan mungkin harganya akan meningkat.

“Kita akan menyerahkan Jasmine Loo kepada agensi lain kerana siasatan ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Siasatan 1MDB berterusan begitu juga berhubung keberadaan Jho Low. Siasatan tak pernah berhenti dan akan memakan masa sedikit kerana melibat beberapa negara luar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI