fbpx

13,000 penduduk resah bau busuk tapak lupus sampah pinggir sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tapak pelupusan pinggir sungai yang menyebabkan kacau ganggu kepada 13,000 penduduk Puncak Alam, Kuala Selangor. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KUALA SELANGOR – Lebih 13,000 penduduk di sekitar Puncak Alam di sini, berdepan pencemaran bau busuk dan asap ekoran kewujudan timbunan sampah berdekatan Jalan Kepong-Kuala Selangor hampir setahun lalu.

Masalah itu turut menyebabkan kacau ganggu apabila ada rumah dihurungi lalat yang berkemungkinan membawa penyakit selain kewajaran sama ada tapak pelupusan itu mempunyai lesen atau tidak susulan berada di pinggir sungai.

Wakil penduduk, Azarul Syazari Che Aziz, 34, berkata masalah itu berpunca apabila pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah di kawasan seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

Katanya, pelupusannya juga diragui akibat berada di pinggir sungai yang boleh menyebabkan kesan kepada sungai dan banjir.

“Kebanyakkan sampah domestik termasuk sisa binaan dan makanan itu dibuang sehingga menyebabkan bau busuk kepada penduduk berhampiran.

“Timbunan sampah itu mengeluarkan bau meloyakan hingga menyebabkan kami yang berasa amat tidak selesa. Bimbang sekiranya berlaku banjir, sampah sarap itu hanyut ke kawasan penempatan dan menyebabkan pelbagai penyakit bawaan air,” katanya ketika ditemui di lokasi itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan hari ini.

Bagi Alif Nazrin Mohd Paudzi, 34, keadaan semakin teruk apabila penduduk tiada selera untuk makan di rumah akibat gangguan lalat.

“Kadang-kadang jika kenduri atau jamuan, kami berdepan masalah lalat apatah lagi jika dikunjungi saudara mara. Timbunan sampah di kawasan itu semakin merebak ke lereng tepi anak sungai.

“Pembakaran pula kerap dilakukan pada waktu petang sehingga mengeluarkan asap tebal,” ujarnya.

Sementara itu, Harrison menegaskan, perkara itu akan dirujuk kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) dalam tempoh terdekat.

“Tapak pelupusan itu berada berdekatan kawasan rumah penduduk dan timbunan sampah turut berlaku di persimpangan Desa Coalfields. Isu ini akan turut dibawa kepada Exco Selangor yang bertanggungjawab agar pemasalahan ini dapat diselesaikan segera,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI