JERANTUT – Durian naga emas kini termasuk dalam senarai pilihan Durian Premium Kampung (DPK) Damak apabila berjaya memenangi tempat pertama pertandingan DKP peringkat daerah Jerantut tahun ini.
Naga emas yang dipertandingkan buat pertama kali oleh pemiliknya, Lim Kok Chooi, 64, telah mengalahkan 25 peserta lain dalam pertandingan anjuran Jabatan Pertanian Daerah itu.
Kok Chooi dari Kampung Berchang di sini berkata, dia menyertai pertandingan tersebut hasil galakan rakan-rakan setelah durian naga emas mula dikenali ramai sejak empat tahun lalu kerana keistimewaan isinya yang berwarna oren dan mempunyai rasa yang unik.
“Naga emas sejenis durian kampung yang asli kerana aroma dan rasanya lemak manis serta sedikit pahit, malah seakan-akan isi melekat di kerongkong.
“Keistimewaan inilah menyebabkan naga emas laris dan kerap ditempah lebih awal oleh pelanggan setiap kali ia mula berbuah,” katanya di Kampung Ulu Cheka, di sini semalam.
Menurut Chooi, buah durian naga emas bersaiz sederhana besar, berbentuk bulat tidak sekata dan sedikit lonjong, manakala kulitnya sederhana tebal dan berduri kasar.
Katanya, di pasaran naga emas dijual dengan harga hingga RM35 sekilogram, tetapi boleh mencecah RM45 apabila mendapat permintaan tinggi di pasaran.
“Pokok durian naga emas ditanam oleh mentua saya sejak 70 tahun lalu menerusi semaian biji yang diperoleh daripada seorang rakan bapanya di Terengganu,” ujarnya.
Katanya, kebun duriannya seluas 2.4 hektar mempunyai 250 batang pokok durian kampung dan durian kahwin, tetapi naga emas menjadi tumpuan orang ramai.
“Saya hanya memiliki sepokok naga emas yang berbuah kira-kira 500 biji semusim, jadi bagaimana hendak memenuhi pemintaan ramai.
“Saya tidak dapat melayani semua pelanggan kecuali yang menghubungi saya sebelum musim ini, malah sehingga hari ini ada yang masih menelefon saya untuk mendapatkan buah naga emas,”katanya.
Seorang peniaga durian, Ahmad Mustapha, 45, berkata, naga emas mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan musang king dari segi aroma serta rasa isinya.
Ujarnya, setiap pelanggan yang datang ke gerainya di sini akan mencari naga emas selain daripada baka damak king yang semakin popular mengatasi durian musang king.















