fbpx

Laksana langkah intervensi tingkat 20 peratus bekalan beras putih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang giat melaksanakan langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, antara langkah diambil adalah meminta pihak pengilang padi dan pemborong beras untuk meningkatkan 20 peratus bekalan BPT melalui Program Khas Beras Putih Tempatan ke dalam pasaran.

“Melalui Sesi Libat Urus Bersama Pihak Industri Pengilang Padi Dan Pemborong Beras Zon Utara pada 27 Ogos lalu, pengilang padi bersetuju untuk memberikan tambahan 20 peratus kuota padi mereka kepada kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

“Bernas memberikan kuota tambahan itu kepada pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara,” katanya di sini tadi.

Jelas KPKM, pihaknya berharap dengan langkah intervensi itu, bekalan pasaran BPT akan kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan pengeluaran BPT di pasaran.

“Sehingga kini, harga BPT masih kekal pada harga kawalan RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 dan ianya adalah harga terendah di rantau ini.

“Selain itu, KPKM akan turut mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2024 bersama pemain industri pada 7 September depan.

“Antara tujuan sesi itu adalah untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri untuk meningkatkan pengeluaran BPT,” jelasnya.

Dalam masa sama, KPKM berkata, pemantauan berterusan di seluruh negara melalui kolaborasi bersepadu melalui Operasi Jamin (OP JAMIN) masih berterusan dalam meningkatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi.

“KPKM telah melancarkan Operasi Beras Putih (OP BPT) bermula 16 Ogos 2023 bagi menumpukan pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras seluruh negara.

“Sekiranya didapati ada pihak gagal untuk mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, KPKM melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak membatalkan atau menggantung setiap lesen dikeluarkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI