fbpx

Imam masjid meninggal dunia lepas baca khutbah, solat Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Mohd. Zamai

KOTA BHARU – Imam tua Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor di sini, Mohd. Zamai @ Suhaimi Ibrahim,73,  meninggal dunia selepas membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat hari ini.

Setiausaha Masjid Mahmudi, Fauzi Yaacob berkata, arwah rebah semasa memberi salam selepas menunaikan solat sunat sebelum menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul  2.30 petang tadi.

Menurut beliau, semasa kejadian arwah tercungap-cungap di atas ribanya selama 15 minit dan beliau serta jemaah lain sempat mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah.

“Anak lelaki imam itu juga datang ke masjid selepas dihubungi jemaah lain. Ketika itu, arwah tercungap-cungap sebelum menghembuskan nafas di dalam masjid ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Mahmudi di sini hari ini.

 

Jemaah Masjid Mahmudi membantu imam yang rebah selepas menunaikan solat sunat hari ini.

Fauzi memberitahu, arwah dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung, namun pengesahan mengenai punca kematiannya masih belum diketahui.

Kata beliau, sebelum kejadian, arwah yang berkhidmat di Masjid Mahmudi itu sejak lebih 25 tahun lalu membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat bersama kira-kira 500 jemaah.

“Saya sempat bercakap dengan arwah buat kali terakhir semalam. Dia ada memaklumkan akan ke hospital hari ini untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi menyambung khidmat sebagai imam tua,” katanya.

Tambah Fauzi, jenazah Mohd. Zamai akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahligai, Melor di sini pukul 8.30 malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI