“KALAU sudah ada ‘isi’, tidak perlu lagi jual diri dengan perkara murahan.”
Itu yang berulang kali dituturkan Datuk Zainal Abidin berhubung lambakan penyanyi muda di luar sana agar usah mengemis populariti dengan cara yang mampu mengundang kebencian ramai.
Bukan meluat apatah lagi membenci, Zainal tidak mahu pelapis dalam industri seni terlupa bakat besar yang dimiliki perlu ditonjolkan kepada umum bukan berlumba menjadi individu ‘terpaling aneh’ daripada segi penampilan.
Sudah belayar sebagai penghibur selama 40 tahun, Zainal berpendapat, bakat perlu menjadi prioriti utama untuk setiap penyanyi sementelah selebihnya hadir kemudian.
“Sejujurnya, saya sangat bimbang dengan segelintir bakat baharu yang lebih mengejar populariti, tanda suka dan jumlah pengikut dalam media sosial berbanding membuktikan kemampuan diri.
“Semua itu bukan pengukur kejayaan, jumlah pengikut mencecah jutaan tetapi kalau menyanyi pun ‘hauk’ pun tiada guna,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Baginya, kebergantungan dan ketaksuban terhadap media sosial perlu dikurangkan kerana semua itu boleh membawa kepada kekecewaan kepada diri sendiri satu hari nanti.
“Kalau boleh, saya nak beritahu generasi muda bahawa jangan terlalu ‘mengikat’ diri dengan dunia maya.
“Mental akan terjejas sekiranya apa yang diingini tidak mendapat sambutan daripada pengguna media sosial seperti jumlah pengikut menurun atau kurang tontonan.
“Hakikatnya, mereka perlu kejar produk bagus dan buktikan kualiti dimiliki.
“Bukannya berlumba-lumba sehingga terdesak nak jadi paling viral dengan konten murahan,” tegasnya.
Kecaman
Sempat berkongsi, anak kelahiran Johor itu berkata, dia juga tidak terlepas menjadi mangsa kecaman netizen hari ini.
Menurutnya, netizen zaman sekarang umpama tidak berhenti-henti mencari kesalahan orang lain dan memperbesar-besarkan isu kecil.
“Saya pun jadi bahan kecaman seperti pakai aksesori, rantai atau cincin pada usia sebegini. Netizen tidak peduli sekiranya anda orang tua, imam, paderi atau menteri sekalipun.
“Perkara penting ialah, jangan balas semua kecaman sebab isu itu akan jadi besar. Itu cara saya sehingga hari ini.
“Bagi saya, tak perlu nak tunjuk kebaikan dalam media sosial untuk dapat ‘restu’ netizen,” kongsinya.
Seorang selebriti lebihkan berkongsi perihal kerjaya berbanding peribadi sekiranya tidak mahu menjadi mangsa kecaman. Itu antara nasihat lain dari bibir Zainal.
“Selain itu, kalau kita hidangkan perkara bodoh, komen yang hadir pun sentimen yang sama,” katanya lagi.
Tiba Masa
Kehadirannya ke Studio Media Mulia baru-baru ini bukan hanya dengan tangan kosong.
Dia hadir dengan berita gembira iaitu bakal muncul dengan sebuah konsert diberi judul Zainal Abidin Tiba Masa Live In Concert 2023 yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur selama dua hari bermula 29 September depan.

Tuturnya, selain mengubat kerinduan peminat, konsert tersebut dipadatkan dengan sebuah jalan cerita perjalanan kariernya yang merangkumi puluhan lagu popular miliknya.
“Konsert ini sangat istimewa dan hadiah untuk peminat setia dan artis muda.
“Saya sangat harap mereka hadir kerana banyak ilmu yang akan saya taburkan selain ingin berkongsi pengalaman selama 40 tahun dalam industri muzik,” ujarnya.
Berkongsi pengisian konsert, bekas vokalis kumpulan Headwind itu menjanjikan akan tampil dengan beberapa elemen kejutan.
“Konsert ini tiada gimik, tetapi penuh dengan elemen kejutan. Istimewanya ialah kumpulan Headwind akan ditampilkan pada segmen pembukaan.
“Banyak lagu hit bersama Headwind akan dinyanyikan malam istimewa itu nanti termasuk lagu-lagu dalam album solo terdahulu seperti Zainal Abidin, Gamal, Terang…Sang dan Puteri.
“Kemudian, saya akan persembahkan segmen sempena kemunculan single Tiba Masa yang juga kesinambungan kepada lagu Hijau,” tutupnya yang akan mendendangkan sebuah lagi single baharu pada malam tersebut.
Dipersembahkan BSync Live dan X-FWD Management, tiket konsert tersebut yang bermula pada harga RM169 hingga RM865 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my.














