MELANGKAHI pintu kaca, di hujungnya terdapat sebuah laluan masuk ke sebuah restoran yang membawa Norazira Abdul Wahab ke satu dimensi berbeza.
Meninjau ke dalam, wanita itu sudah tertarik dengan nuansa oriental era 50-an yang dipenuhi dengan pelbagai ukiran bermotif legenda masyarakat Cina di setiap sudut restoran.
Menurut Norazira, 39, yang merupakan seorang kakitangan awam, dia tidak menyangka restoran itu memang seperti apa yang digambarkan di media sosial.
“Saya dan keluarga mengetahui tentang restoran makanan Cina ini menerusi satu perkongsian di laman TikTok dan jatuh cinta dengan gambaran restoran yang dipaparkan dalam video tersebut.
“Memandangkan keluarga juga gemarkan masakan autentik masyarakat Cina, jadi kami memutuskan untuk datang ke sini semasa percutian kami di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui K2 di restoran Halley at Mandarin Palace, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Restoran itu diuar-uarkan sebagai restoran Cina tertua di negara ini yang mesra Muslim dan dikunjungi masyarakat Malaysia.
Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, apa yang menarik perhatiannya juga adalah dekorasi yang sangat autentik dengan suasana seperti berada di sebuah restoran Cina mewah yang digambarkan dalam drama-drama dari China.
Wanita asal Batu Pahat, Johor itu turut tertarik dengan fakta bahawa restoran ini sebaya dengan usia kemerdekaan negara, malah pernah dikunjungi oleh kedua-dua bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein.
Restoran Halley at Mandarin Palace, merupakan kedai makan masakan Cina kantonis dan fusion yang dibuka tiga hari sebelum kemerdekaan negara.
Terletak di tingkat dua, Hotel Federal, Bukit Bintang, sejarah restoran ini berkait dengan penubuhan hotel tersebut yang asalnya dibuka sebagai hotel mewah terawal di Kuala Lumpur.
Menurut Pengurus Restoran dan Banquet, Agnes Chia, restoran itu pada asalnya berada di bawah pengurusan hotel, namun selepas hotel ditutup akibat pandemik, restoran itu diambil alih pengurusan baharu, Wondermama pada 18 Januari lalu.
Wondermama merupakan sebuah syarikat pengurusan yang dimiliki oleh pemilik Ng Su-San dan suaminya, Lai Chee Hoe.

“Asalnya restoran ini merupakan ruang makan hotel yang dikenali dengan nama Dragon and Pheonix Dining Area, namun kemudian selepas diambil alih, namanya ditukar kepada Halley at Mandarin Palace.
“Sejarah restoran ini amat berkait rapat dengan hotel yang pada asalnya dibuka sebagai penginapan buat wakil-wakil dari Britain yang datang untuk majlis bersejarah iaitu Upacara Pengisytiharan Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Restoran ini juga menjadi ruang makan perwakilan dari Britain dan Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman sempena hari kemerdekaan negara itu,” katanya.
Tambahnya, ruang makan itu turut pernah dihadiri oleh ramai orang ternama termasuk wakil kedutaan dan selebriti.
Jelasnya lagi, rekaan dalamannya juga merupakan sesuatu yang ikonik kerana direka sebagai mewakili masyarakat Cina di Malaysia.
Katanya, rekaan dalaman restoran tersebut masih dikekalkan sejak tahun 1957 termasuk kebanyakan perabot perhiasan di dalamnya.
Rekaan dalaman Halley at Mandarin Palace mengetengahkan konsep oriental Cina, yang mana mengetengahkan banyak motif hidupan mitologi Cina iaitu naga dan burung pheonix.
“Di setiap ruangannya daripada dinding, siling, malah tiang terdapat ukiran, gambar dan rekaan yang menggambarkan naga dan burung phoenix dengan dianggarkan sebanyak 1,118 semuanya.
“Tidak hanya itu, gambar dan ukiran yang terdapat di dinding juga merupakan kisah-kisah legenda yang menjadi kepercayaan masyarakat Cina antaranya kisah sambutan Festival Kuih Bulan dan Festival Qixi (Hari Valentine masyarakat Cina),” kongsinya.
Katanya lagi, meskipun beralih kepada pengurusan baharu, rekaan dan konsep kedai masih dikekalkan dan tidak diubah sepenuhnya.
Hal ini kerana pihak pengurusan mahu mengekalkan nilai estetik dan sejarah kedai yang menjadi sebahagian momen kemerdekaan negara.
Restoran ini juga mendukung semangat perpaduan berikutan konsep sajiannya yang boleh dijamu pelbagai kaum dan agama (pork-free).
Boleh memuatkan sehingga 350 pelanggan pada satu-satu masa, restoran ini juga mempunyai lima ruangan VIP termasuk ruang makan persendirian bagi majlis kecil-kecilan.
Selain itu, restoran ini juga menawarkan kira-kira 115 menu yang terdiri daripada masakan Kantonis dan fusion.
Kongsi chef restoran, Alex Chin, antara menu signatur di Halley at Mandarin Palace adalah imperial peking duck, roast chicken with chef’s mala Thai sauce, claypot curry fish head with golden mantou dan banyak lagi.
“Menu di sini semuanya dihidangkan segar dan paling utama tidak gunakan bahan perasa tiruan.
“Pada masa sama kita mengetengahkan menu dan sajian etnik Kantonis yang digabungkan dengan selera masyarakat sekarang seperti makanan Thailand,” jelasnya.
Katanya lagi, selain menu makanan berat, restoran turut menawarkan aneka hidangan dim sum yang autentik dibuat oleh chef Jay Lee yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam masakan Cina.
















