fbpx

Mahkamah: 19 transaksi lebih RM2 bilion dalam akaun Najib dinilai petugas 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang penganalisis petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau telah diarahkan untuk menilai 19 transaksi urus niaga berjumlah RM2.282 bilion dalam dua akaun bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd. Roslan, 29, berkata, transaksi itu adalah antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 yang mana amaun rendah RM11,567.57 dan paling tinggi RM602 juta.

“Ketika dipinjam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya ditugaskan oleh pengawai penyiasat kanan, Nur Aida Arifin, untuk membantu dalam mengenal pasti dan mengesan kaitan antara dana dikumpul 1MDB dan wang diterima Najib.

“Wang itu dimasukkan ke dua akaun peribadi Najib di AmIslamic Bank Berhad iaitu AmPrivate Banking – MR dan AmPrivate Banking – 1MY,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Mengulas lanjut dalam pernyataan saksinya, Adam Ariff, berkata analisis terhadap jejak wang dalam dua akaun bank terbabit boleh diasingkan kepada empat fasa termasuk ‘Tanore’.

Katanya, RM2.081 bilion dikreditkan ke akaun Najib menerusi AmPrivate Banking – MR daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp, antara 21 Mac dan 10 April 2013, di mana ia dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Global Investment Limited.

“Fasa ‘Aabar-BVI’ pula antara 30 Oktober dan 20 November 2012 dengan RM90.899 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – MR daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited.

“Fasa ‘Good Star’ antara 23 Februari dan 14 Jun 2011 membabitkan RM60.629 juta dikreditkan ke akaun bank sama daripada akaun Riyad Bank, Arab Saudi yang dikesan pada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiket pada 2010,” kata saksi itu lagi.

Saksi itu berkata, fasa ‘Options Buyback’ pada 23 Jun 2014, membabitkan RM4.093 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – 1MY daripada akaun DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited yang dikesan hasil pinjaman AS$250 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI